Satu hal yang menarik untuk dikongsi
bersama di sini ialah tentang KEJAYAAN adik NIK NUR MADIHAH pelajar
Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu yang
mendapat keputusan CEMERLANG dan PELAJAR TERBAIK SPM 2008 yang diumumkan
baru-baru ini dengan mendapat 20A. Apakah rahsia kejayaan beliau?
Kejayaan adik Nik Nur Madihah menarik
perhatian semua pihak. Ana difahamkan ramai wartawan pergi ke rumah di
Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk menemuramah beliau. Ekoran daripada
itu, kalam ini juga terpanggil untuk berbicara tentang rahsia kejayaan
beliau.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah
Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak
istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar
cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Bagi beliau, kemiskinan dan kekurangan
bukan penghalang meraih kejayaan. Malah kemiskinan, kesukaran dan
kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah
nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan kedua ibu bapanya.
Beliau adalah anak sulung daripada empat
adik beradik. Ayah dan ibu beliau bukannya orang berada. Ibu bekerja
sebagai tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ayahnya
pula bekerja sebagai nelayan.
Apa yang menariknya, adik Nik Nur Madihah
tidak menganggap dirinya genius, malah waktu belajarnya juga tidak
menentu. Beliau juga tidak mengikuti kelas tambahan, belajar juga tak
ada jadual. Tetapi kata beliau, “Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa.” Itulah rahsia kejayaan beliau.
Cuba anda tengok (gambar di atas),
itulah pondok kecil beliau yang menjadi tempat beliau sekeluarga
berteduh daripada hujan dan panas. Rumahnya pula tak semewah rumah orang
lain. Ayahnya menyewa dengan RM90 sebulan. Ruang untuk belajar juga
adalah terhad. Malah tidak ada bilik khusus sebagai tempat beliau
mentalaah pelajaran. Ruang tamulah menjadi tempat beliau mengulangkaji
pelajaran setiap hari.
Anak sulung daripada empat beradik dari
Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan
pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik. Moga-moga Allah
SWT mempermudahkan segala urusan beliau.
Justeru itu, jadilah kejayaan adik Nik
Nur Madihah pada hari ini sebagai dorongan untuk anda untuk memulakan
langkah pertama untuk meraih kejayaan pada hari esok. Jangan jadikan
kemiskinan, kesukaran dan kekurangan diri dan keluarga menjadi alasan
dan penghalang untuk anda mencipta kejayaan. KALAU ORANG LAIN BOLEH BERJAYA, KENAPA ANDA TAK BOLEH ? Tanyalah diri anda pasti anda mengetahui jawapannya.
kredit:ibniismail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan