Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta
TARIKH
16 Mei tiap tahun penting dan cukup bermakna kepada negara. Hari yang
diraikan khusus untuk mengingati segala budi dan jasa guru dalam
menggerakkan masyarakat ke arah pembinaan bangsa dan negara. Merujuk
istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman
penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris.
Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu,
murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang
membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang
yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata
pelajaran.
Pemimpin negara hari ini sememangnya pernah menjadi
murid yang menerima tunjuk ajar serta didikan seorang guru. Begitu juga
dengan agamawan, ahli korporat, golongan profesional dan pelbagai
peringkat masyarakat pernah menerima khidmat sekumpulan guru yang
dipertanggungjawabkan menyampaikan ilmu.
Ilmu yang diterima itu
berperanan meneropong kehidupan masa depan mereka. Rasulullah bersabda
maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah
seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat
Abu Daud dan At -Tirmizi).
Sepatutnya, sebagai warga yang
rasional dan waras, kita sentiasa dalam apa jua keadaan perlu mengenang
kembali erti pengorbanan guru yang pernah mendidik dan membantu
membina sahsiah. Mereka yang mengajar sehingga kita berupaya membaca
dan menulis serta kelangsungan membuka minda, membajai daya dan
menyusur keupayaan akal kita.
Akhirnya menyemarakkan evolusi
mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada
hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan sesiapa
sama ada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat
jelata.
Allah berfirman maksudnya: “Allah akan meninggikan
(darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu
pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah
amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah
Al-Majadalah:1)
Guru sebenarnya melaksanakan tanggungjawab amat
besar dalam menyampaikan risalah ilmu kepada manusia keseluruhan.
Peranan mereka mengeluarkan masyarakat yang rendah minda dan
pengetahuan kepada masyarakat yang berilmu, kreatif dan berinovasi
sewajar dihormati serta mendapat penghargaan tinggi dari negara.
Sebagai murid yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita
seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan
keilmuan yang mereka miliki. Segala pangkat dan kedudukan kita hendaklah
dibatasi adat dan nilai yang dituntut agama.
Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya.”
Betapa Saidina Ali seorang yang terkenal dengan alim dan berilmu itu
memberi penghormatan dan menganggap orang yang hanya mengajar satu
huruf adalah guru dan baginda rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada
guru itu. Sewajarnya kita yang memang cetek dan serba kekurangan dalam
bidang ilmu pengetahuan serta banyak menerima pengajaran akan lebih
memberi sanjungan, penghargaan dan kemuliaan setinggi-tingginya terhadap
mereka yang banyak berjasa itu
Imam Ahmad ibn Hambal pernah
berkata kepada Khalaf al-Ahmar: “Aku tidak akan duduk kecuali di
sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru
kita.”
Rasulullah bersabda bermaksud: “Pelajarilah ilmu
pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan
kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar
kamu.” (Riwayat Abu Hurairah)
Guru adalah sebagai model terhadap
orang di bawah pimpinan. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur
kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan
masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi
contoh yang baik dalam semua hal.
Guru membina sahsiah dan
membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita
sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa
guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima
ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru,
selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita,
mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu
anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar
dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap
ilmu yang diterima.
Seiring kemajuan dan pembangunan zaman,
derap langkah guru mengembangkan amanah negara dalam mempertahankan
nilai budaya menjadi tugas yang semakin utama serta amat mencabar.
Tugas ini bukan mudah untuk disempurnakan melainkan dilakukan dengan
cekal dan sabar terutama dalam melayani kerenah murid yang mempamerkan
pelbagai watak yang amat berbeza dari semasa ke semasa.
Dari
generasi ke generasi selepas merdeka, didapati berlaku kesinambungan
tugas dan tanggungjawab yang dipikul generasi guru tanpa bantahan dan
kerenah yang boleh menghalang matlamat pendidikan. Ertinya mereka
melakukan tugas dengan penuh amanah dan integriti.
Kita mesti
mengingatkan diri supaya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Jangan
sekali-kali akibat kemewahan pembangunan negara yang dikecapi ini,
kita dengan mudah memadamkan jasa guru kepada kedudukan kita kini.
Jangan
sesekali kita lupa bahawa guru yang meletakkan asas pendidikan yang
ulung di negara ini sehingga warganya mampu menggerakkan landasan
pembangunan negara kini. Namun tanpa kita sedari, sebahagian daripada
mereka telah meninggalkan kita. Meninggalkan jasa dan nama yang sukar
dipadamkan.
Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan
atas usaha guru yang telah meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa mereka
mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali
pun kita berusaha.
Selain menghormati dan menunaikan hak
mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai
tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas
diri mereka.
Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan
tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita
penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita
akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita
itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi
meninggalkan kita.
Sumber:MindaMubin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan