Rabu, 12 Februari 2014

Kemelut Guru Dulu Dan Sekarang

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

 

Masih banyak isu mengenai tekanan dihadapi guru yang tidak selesai hingga mampu menjejaskan tumpuan dan profesionalisme golongan itu.
Daripada isu semakin kurangnya kuasa guru dalam mengawal disiplin pelajar hingga pengenalan sistem pendidikan baru yang dianggap belum difahami sepenuhnya menyebabkan golongan itu terpaksa berhempas pulas berdepan pelbagai konflik.
Tambahan lagi, dengan bebanan kerja yang semakin tinggi menyebabkan kehidupan guru kian terhimpit.

Malangnya, di tengah-tengah kemelut itu, masih ada pihak menganggap guru hanya mencipta alasan.


 Foto
   GURU dulu tidak terlalu terbeban dengan tanggungjawab sebagai pendidik kerana fokus utama ialah membangunkan bangsa.

Apatah lagi sebahagian besarnya terdiri daripada golongan guru muda yang dianggap agak manja dan tidak tahan berdepan cabaran berbanding guru lama.

Justeru, siapakah yang harus disalahkan dalam kemelut ini?

Adakah kerana sistem pendidikan negara yang dikatakan sentiasa beralih arah menjadi antara penyebab utama atau guru sekarang kekurangan daya juang dalam arena pendidikan moden?

Pensyarah Kanan Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Daud berkata, sistem pendidikan negara perlu berada di landasan yang tidak memberi tekanan melampau kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, ini bagi memberi ruang kepada setiap dasar atau aspirasi pendidikan sedia ada ber­kembang dan mampu dilaksanakan mengikut perancangan.

“Sebarang tekanan secara keterlaluan akan menyebab­kan wujudnya sekatan ketika melaksanakan tugasan.

“Ini menyebabkan guru tiada ruang untuk mendedikasikan tanggungjawab dengan sempurna, sekali gus menjejaskan matlamat sasaran.

“Ini bukan satu per­kembangan baik bagi dunia pendidikan negara kerana proses sedia ada sepatutnya berjalan lancar bukan tersekat-sekat,” katanya.

Beliau berkata, tanggapan segelintir pihak yang me­nganggap hanya guru baru saja yang berdepan masalah ini tidak boleh dijadikan ukuran guru lama juga tidak berdepan situasi sama.

“Dalam hal ini, tiada bezanya status guru baru atau lama kerana tekanan tidak memilih aspek tertentu sebagai faktor.

“Cuma situasinya mungkin berbeza, misalnya faktor zaman, pelajar dan pengenalan sistem baru.

“Faktor-faktor ini mungkin boleh mendatangkan dilema atau tekanan pada guru yang berada dalam zon selesa,” katanya serta menambah jika guru benar-benar menikmati kerjaya pilihannya, isu tekanan atau dilema tidak mungkin timbul.

“Memang banyak tekanan dihadapi golongan itu sejak akhir-akhir ini seperti perubahan format peperiksaan, corak pembelajaran dan pengajaran.

“Kita tidak boleh me­ngelak kerana ini keperluan dunia pendidikan zaman sekarang.

“Cuma masalahnya jika sebarang perubahan tidak dibuat dengan baik sama ada penyampaian maklumat dan kemudahan, ia mampu memberi impak kepada guru sebagai golongan pelaksana,” katanya.

Akibat terjejas dengan tekanan juga bebanan, kebanyakan guru sukar memberi tumpuan terhadap tugas hakiki yang perlu dilaksanakan.

“Saya tidak kata pekerjaan guru tidak perlu ada tekanan sebab normal bagi sesiapapun berdepan de­ngannya (tekanan).

“Yang perlu difahami ialah apakah punca yang me­nyebabkan guru tertekan dan sukar melaksanakan tugasan dengan baik.

“Jika timbul masalah, ia perlu ditangani supaya tidak pula menjejaskan peranca­ngan sedia ada,” katanya.

Beliau juga tidak me­nyangkal perubahan sistem pendidikan serba pantas dengan mekanisme baru salah satu punca utama.

“Sistem pendidikan perlu berubah seperti penggunaan teknologi untuk mengisi data, tapi pastikan ia berada pada tahap selesa untuk memudahkan kerja guru dan tidak mengganggu tugas hakiki sedia ada.

“Kepincangan dalam sistem akan membuatkan mereka sukar menjalankan tanggungjawab selain berlaku pembaziran masa dan tenaga.

“Ramai yang mung­kin me­nganggap kesannya kecil namun dalam tempoh masa panjang, ia boleh menjejaskan produktiviti guru tidak kira sama ada dia berpengalaman atau tidak,” katanya.

Ditanya sama ada sistem digunakan sekarang mempunyai kepincangan kerana terdapat pelbagai rungutan, katanya setiap sistem yang diperkenalkan perlu melalui proses percubaan.

“Contohnya, sistem pendidikan dulu lebih menekankan kepada konsep 3M iaitu Membaca, Menulis dan Membaca.

“Bila sistem sudah mantap, ia ditukar pula pada sistem lain lebih berkeperluan dan relevan dengan tujuan mempertingkatkan lagi sistem sedia ada.

“Sistem tidak salah namun perlu diperbaiki dan dimantapkan dari semasa ke semasa supaya pelaksanaannya berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya pelaksanaan itu perlu mengambil kira kesediaan golongan pelaksana sama ada bersedia atau tidak.

“Isunya di sini ialah bagaimana membantu golongan pelaksana ini melaksanakan perubahan tanpa memberi tekanan melampau.

“Bagi mengelak wujud­nya konflik, semua pihak perlu saling bertolak ansur dan memahami fungsi keseluruhan sesuatu sistem diperkenalkan,” katanya.

Mengenai pemberian pelbagai insentif, beliau berkata, ia imbalan yang perlu dipulangkan semula kepada pihak berkeperluan.

“Dalam konteks ini pihak itu merangkumi semua, terutama pelajar yang dibentuk melalui sistem pendidikan negara masa kini yang sedang diguna pakai.

“Apa yang penting guru perlu menyediakannya. Sebab itu penting semua pihak bersedia dan boleh menerima apa jua pengenalan sistem atau modul baru,” katanya.

Golongan guru dulu katanya tidak terlalu terbeban dengan tanggungjawab sebagai pendidik kerana fokus utama ialah membangunkan bangsa melalui pendidikan.

“Tapi sekarang ada pelbagai sasaran ditetapkan me­nyebabkan golongan guru masa kini tertekan dan keliru.

“Mereka bukan saja perlu memenuhi sasaran tapi pelbagai aspek lain perlu diambil kira,” katanya.~Harian Metro

Tiada ulasan: