Sabtu, 28 Mac 2015

MEMBACA - Bagaimana Hendak Pupuk Minat Membaca Di Kalangan Kanak Kanak


  https://encrypted-tbn1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcTI6CNfP7D6aupy1_mMmefE1M_vUMQIQTMVGr97pJI5XbEkmBhL
 
Kata orang bijak pandai, “Kunci untuk mendapatkan pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan.” Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.

Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan “mama” dan “papa”. Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

--Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.

--Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

--Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, “Ni apa?” atau “Apa tu?”. Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.



Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

--Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.

--Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

--Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

--Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

--Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

--Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.
--Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

--Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.

Kesan tidak tahu membaca

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar

Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar

Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk

Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba

Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.


Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

--mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
--belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
--kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
--rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
--kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

--peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
--terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
--perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
--kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
--pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
--mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

--perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
--kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
--corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
--mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.

Walau bagaimanapun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Keperluan membaca untuk kanak-kanak

Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.

Mengapa kemahiran membaca penting?

Keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa.

1. Iktibar wahyu pertama

Wahyu Allah swt yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah perintah membaca. Dengan perantaraan membaca dan tulisan, Allah swt mengajar banyak pengetahuan kepada manusia. Jika perkara membaca ini telah dikuasai oleh kanak-kanak sejak usia tiga tahun, maka lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehi. Firman Allah swt dalam surah Al Alaq ayat 3 hingga 5 yang bermaksud;

Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan pada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Daripada perspektif Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas kepada kita ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah saw telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

2. Merangsang perkembangan otak

Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang membangun pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.

Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk menaikkan taraf kecerdikannya.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka.

Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan memilih perkataan tertentu dan menyusunnya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur 5 tahun. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak.

3. Persediaan awal ke sekolah

Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.

Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.

Faedah membaca kepada kanak-kanak
Manfaat membaca terlalu besar apatah lagi kanak-kanak. Membaca awal bererti terkehadapan. Terdapat empat faedah utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka iaitu :

1. Proses pembelajaran menjadi lebih lancar dan mudah

Kanak-kanak yang dapat membaca tentulah akan lebih mudah diberi rangsangan dan dorongan untuk belajar. Kenikmatan membaca di kalangan kanak-kanak memang berbeza daripada orang dewasa kerana semangat ingin tahu mereka sangat tinggi. Dengan membaca, mereka dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman.

Apa sahaja perkataan yang dilihat akan ditanya dan jika tidak faham, ditanya lagi sehingga mereka berpuas hati. Melalui budaya bertanya inilah akan membentuk budaya ingin tahu. Cuba kita bayangkan, sekiranya 100,000 orang kanak-kanak memasuki alam persekolahan telah dapat membaca dengan lancar dan berkesan, negara akan melahirkan satu generasi pelajar yang celik huruf, pintar dan bijaksana mencari ilmu dalam tempoh 20 tahun sahaja.

2. Seronok untuk ke sekolah

Melalui pembacaan, kanak-kanak dapat menguasai sejuta perkataan. Begitulah kesan kemahiran membaca ke atas kanak-kanak. Sistem pendidikan di sekolah yang menitikberatkan aspek membaca adalah satu saham yang amat besar terhadap kanak-kanak yang tahu membaca.

Apabila sudah tahu teknik membaca, mengenal huruf, memahami perkataan dan minat membaca, mereka akan terus membaca di mana-mana sahaja dan bertambah-tambah minat untuk belajar perkara-perkara yang baru di sekolah.

3. Rangsang minat membaca

Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan ilmu manusia dipandang mulia sama ada di dunia ataupun akhirat. Minat membaca pada kanak-kanak boleh dirangsang dan dibentuk ketika mereka berumur 18 bulan lagi. Dengan menghadiahkan buku ketika anak-anak mendapat kejayaan dalam pelajaran adalah satu dorongan yang amat bermakna untuk menambah minat membaca mereka.

4. Mempercepatkan proses kematangan

Kemahiran dan keupayaan membaca bukan sekadar membantu anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal dan sosial yang lebih baik.

Keempat-empat faedah ini boleh dikembangkan lagi supaya ibu bapa dapat memaksimumkan potensi perkembangan mental dan fizikal anak-anak khususnya anak perempuan.

Pada era teknologi maklumat sekarang, pencerapan ilmu paling banyak diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian. Faedah membaca akan nampak nyata pada orang yang mengamalkan ilmu atau idea yang diperolehi daripada proses membaca. Bagi kanak-kanak, membaca membuatkan mereka mempelajari sesuatu yang baru dan menambah tahap kecerdikan untuk bertanya, mengambil tahu dan melaksanakan apa yang mereka tahu. Sebab itulah kita lihat kanak-kanak yang bijak, keupayaan sosialnya lebih baik kerana proses membaca dapat membentuk pemikiran mereka untuk berfikir dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap usia masing-masing.

Pendidikan adalah survival bagi masa hadapan seorang kanak-kanak. Mereka harus dibekalkan dengan segala persediaan awal yang dapat mempastikan survival mereka dalam persekitaran masyarakat yang bersaing. Salah satu survival kanak-kanak ialah kemahiran membaca supaya dapat bersaing dan bergerak ke hadapan menghadapi cabaran.


kredit:zahirzainudin

Tiada ulasan: