Selasa, 4 Februari 2014

SK Bandar Tawau .... Mengimbau Kenangan Silam

 
 
SK Bandar Tawau merupakan sekolah melayu pertama dibina di Tawau. Ia ditubuhkan pada tahun 1925. Pembinaan sekolah ini adalah atas bantuan penuh kerajaan Chartered Company dan pada masa itu sekolah ini dikenali sebagai “Government Vernacular School Tawau“.

Pada tahun 1927 sekolah ini telah dipindahkan ke bangunan club dimana sebahagian bangunan tersebut turut digunakan oleh Pejabat Perhutanan Tawau. Pada tahun 1933, sekolah ini sekali lagi dipindahkan ke Pejabat Pos Lama. Bangunan ini terus digunakan sebagai sekolah sehinggalah Kerajaan Jepun memerintah Negeri Sabah.


Selepas Perang Dunia ke 2, pada tahun 1946, Kerajaan British yang memerintah pada masa itu telah mendirikan semula sekolah ini dan diberi nama “Government Primary School” di atas tapak Pejabat Residen.

 
 
Pertambahan bilangan murid telah menyebabkan kerajaan membina sebuah sekolah baru bertempat di Jalan Utara Tawau berhampiran dengan Lapangan Terbang Tawau. Bangunan ini dilengkapi dengan peralatan moden dengan 9 buah bilik darjah dan sebuah bilik guru. Pada tahun 1970 pertambahan dua buah bilik darjah, sebuah klinik, dan sebuah pejabat telah dibina.

Pada tahun 1983, bangunan 3 tingkat, sebuah kantin dan sebuah dewan serbaguna telah dibina bagi menampung pertambahan bilangan murid. Pada tahun 1991, sekolah ini dijadikan sekolah gunasama bersama SK Bandar Tawau II sehinggalah pada hari ini.

 
 
Sehingga tahun 2003 kerajaan telah membina 4 lagi buah bangunan yang mengandungi 16 buah bilik darjah dan sebuah kantin bagi menggantikan kantin yang lama.

Pada tahun 2004 sekolah ini telah dipilih sebagai sekolah angkat Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membantu kemenjadian sekolah ke arah kecemerlangan. 

Pada tahun 2005 SK Bandar Tawau telah mendapat Anugerah Pusat Sumber Cemerlang Johan Peringkat Negeri Sabah dan turut dicalonkan sebagai Pengurusan Cemerlang Skim Pinjaman Buku Teks Peringkat Kebangsaan.


Pada tahun 2007 SK Bandar Tawau telah disenaraikan sebagai Sekolah Impian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Bagi menyahut cabaran ini pihak sekolah telah menyusun pelan strategi 2008 – 2012 bagi mencapai hasrat sebagai sekolah cemerlang menjelang 2012.

 


Tiada ulasan: