Selasa, 24 Disember 2013

PERANCANGAN TUGAS PERSEKOLAHAN 2014 (MEASURE TWICE, CUT ONCE)

 
 
 Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Si jaguh datang dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. (Pihak) yang batil dengan perancangan dapat mengalahkan (pihak) yang benar tanpa perancangan.

Demikian antara maksim tentang kepentingan proses merancang dalam kehidupan insan sama ada sebagai individu, masyarakat, organisasi, pemimpin dan negara. Falsafah tukang kayu mengatakan bahawa ukur dua kali, potong sekali sahaja. Peribahasa Melayu juga mengungkapkan kebijaksanaan perancangan, iaitu ukur baju di badan sendiri; jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga; jika memandang bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi, dan banyak lagi.

Sekolah sebagai organisasi yang mempupuk pembelajaran sudah pasti meletakkan proses perancangan sebagai keutamaan kritikal dan teratas. Sering disebut bahawa perancangan mewakili 80 peratus komponen kejayaan. Teori pengurusan klasik yang begitu dikenali dengan singkatan POSdCorb telah dipopularkan oleh Luther Gulick dan Lyndall Urwick, 1937 (klik di sini) meletakkan perancangan sebagai komponen pertama.

Jumlah minimum hari persekolahan di Malaysia ialah 190 hari, termasuk kelayakan cuti peristiwa sebanyak empat hari yang tidak perlu diganti. Jumlah minggu persekolahan pula ialah 42 minggu, termasuk peperiksaan awam yang dijalankan dalam musim persekolahan. Pihak sekolah juga perlu mengambil kira peristiwa luar jangka (ad-hoc) yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar melindungi masa instruksional murid (MMIM), iaitu mengoptimumkan keberadaan guru di sekolah.

Salah satu dokumen tatacara rasmi operasi sekolah (SOP) ialah manual takwim persekolahan dan direktori pengurusan yang memperinci agihan tugas guru dan tarikh yang perlu dipatuhi. Antara dokumen rujukan penting dalam merancang tugas persekolahan sesuatu tahun ialah kalendar lengkap, senarai cuti kelepasan am persekutuan, cuti negeri dan cuti peristiwa sekolah (klik di sini dan di sini). Pelaksanaan aktiviti kurikulum di bilik darjah juga mesti akur dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa kurikulum yang dianggotai oleh pentadbiran sekolah dan semua ketua panitia yang mengambil kira peruntukan hari ujian dan peperiksaan dalaman. 

Mesyuarat guru dan mesyuarat teragih (dalam kumpulan yang lebih kecil) perlu diatur dengan cekap supaya sentiasa bersifat adil dan produktif. Maksudnya, pelaksanaan mesyuarat dibuat secara profesional dan terancang sehingga tidak berlaku pembaziran masa dan tenaga yang meningkatkan bacaan meter tekanan dalam kalangan ahli mesyuarat. Tujuan mesyuarat ialah untuk memenangi kerjasama dan sokongan demi menjayakan sesuatu projek, program dan sistem yang dikehendaki.
 
Oleh:CikguAzhar

Rabu, 18 Disember 2013

Kutipan Data PBS Lebih Laju

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan membangunkan modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang baru menggunakan teknologi Java dan HTML 5 yang lebih cekap dan ringan berbanding teknologi sebelumnya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu persidangan Dewan Negara semalam, pendekatan baru dalam pengurusan kapasiti pemprosesan di pusat data secara ‘on-demand’ itu diambil bagi membolehkan keupayaan pemprosesan ditingkatkan mengikut keperluan.

“Ini memastikan pengguna tidak menghadapi isu ‘auto log out’ atau server perlahan dan tidak dapat mencapai aplikasi itu,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mengenai langkah kerajaan untuk menaik taraf PBS di setiap sekolah yang disediakan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi.


Kementerian juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam modul PBS baru dengan menyediakan keupayaan ‘cache’ bagi membolehkan PBS terus beroperasi walaupun secara ‘off-line’.

Selain itu, Idris berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam penggunaan infrastruktur ICT khususnya keupayaan server komputer bagi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan semak dalam talian.


Beberapa penyelesaian dikenal pasti termasuk isu kapasiti pemprosesan yang ditetapkan pusat data, aplikasi SPPBS sedia ada memerlukan keupayaan pemprosesan yang tinggi kesan daripada penggunaan teknologi lama serta jadual kemasukan data yang sangat fleksible menyebabkan pengguna memasukkan data pada penghujung tahun mengakibatkan kesesakan pusat data.


Mengenai usaha mengurangkan beban tugas guru, beliau berkata, modul PBS diintegrasikan dalam Sistem Pengurusan Sekolah sebagai ‘single window’ ,” katanya. - BERNAMA