Ahad, 23 Februari 2014

Program Sekolah Penyayang

PENDEKATAN SEKOLAH PENYAYANG SATU SIFAT PROFESIONAL SEORANG PENDIDIK
 
Oleh Cikgu Nor Hafizah Mohammad Hanafi
Pendekatan Sekolah Penyayang telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dijalankan di setiap sekolah bermula Mac tahun lalu. Ada pihak yang menerimanya dengan hati terbuka dan tidak kurang juga yang kurang senang. Mungkin kerisauan sekiranya perkara begini yang berlaku. Sebenarnya, kerisauan begini tidak perlu wujud sekiranya setiap dari guru menghayati dan mengamalkan sepenuh hati amalan sekolah penyayang ini, dan bukan hanya dijadikan program untuk tujuan dokumentasi semata-mata.


Sebenarnya, kerisauan begini tidak perlu wujud sekiranya setiap dari guru menghayati dan mengamalkan sepenuh hati amalan sekolah penyayang ini, dan bukan hanya dijadikan program untuk tujuan dokumentasi semata-mata.
Mari kita kita lihat konsep sekolah penyayang :
Pertama, penyayang membawa maksud perbuatan atau perlakuan menyayangi, mengasihi, dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain. Ini bermakna Guru Penyayang adalah seorang yang memiliki sifat kepedulian (concern) terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya (every child matters) dengan cara mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra,  mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar.  
Kepedulian adalah antara elemen penting yang perlu dititik beratkan oleh semua guru kerana kadang-kadang ada guru yang terlepas pandang dan mudah menghukum murid tanpa mempedulikan sebab dan akibat perbuatan mereka. Memandangkan tugas saya sebagai seorang kaunselor yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai isu murid, saya perhatikan kebanyakan murid yang dihukum mempunyai sebab-sebab tertentu dan sentiasa mengharapkan bimbingan serta peluang untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik. 
Benarlah kata anak-anak umpama kain putih, ibu bapa lah yang mencorakkan mereka. Namun, sekiranya ibu bapa juga kurang mempunyai masa untuk mencorakkan mereka, maka guru adalah antara agen yang paling dekat untuk membantu memberikan corak kepada mereka. Sama ada corak-corak yang indah atau corak-corak yang diconteng dan tiada nilainya. Jadi, benarlah konsep kepedulian ini perlu diterapkan dalam jiwa setiap dari pendidik.
Kedua, Guru penyayang menjiwai bahawa murid mereka merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan  disayangi setiap masa.
Kita sentiasa mendengar jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada remaja yang ada sekarang. Apakah amalan, apakah kecenderungan, apakah minat dan sikap yang mereka tonjolkan itulah yang mencerminkan masa depan negara itu. Jika ia benar, maka memang benarlah kita perlu memberi perhatian yang lebih, perlu menjaga murid kita, perlu membimbing mereka untuk memastikan masa depan negara kita akan sentiasa berada dalam suasana rukun damai.
Setiap dari manusia mempunyai fitrah ingin dihargai dan disayangi oleh orang lain. Begitu juga dengan murid kita yang sentiasa mengharapkan penghargaan dan kasih-sayang daripada guru-guru yang merupakan insan yang signifikan dalam hidupnya. Menurut pandangan Teori Pemusatan Perorangan tentang sifat semulajadi manusia oleh Carl Rogers, setiap manusia mempunyai harga diri, mempunyai minat yang tersendiri serta bebas berdikari dan mempunyai arah kendiri. 
Harga diri inilah yang perlu sentiasa dijaga oleh pendidik dengan menggunakan pendekatan kasih sayang dan tidak mudah menjatuhkan harga diri murid di hapadan orang lain. Kerana kesannya amat besar dan mendalam serta mampu mempengaruhi perkembangan psikologi mereka.
Ketiga, membudayakan amalan penyayang merupakan sifat profesional guru dalam perhubungannya dengan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat. Sifat profesional bermakna satu sifat yang diamalkan oleh sesuatu golongan profesional itu. Sebagai contoh, sifat profesional seorang polis adalah tegas dan berani. Jadi semua dari kita sedia maklum, seseorang polis itu tidak pernah gentar untuk memburu penjenayah walaupun nyawanya menjadi taruhan. Begitu juga dengan sifat profesional seorang doktor yang sentiasa membantu menyelamatkan dan membantu pesakitnya tidak kira siapa sahaja yang berada dihadapannya walaupun seorang penjenayah. 
Jadi, sememangnya kita sebagai seorang guru membudayakan amalan penyayang dan dijadikan sebagai sifat profesional dalam profesion kita. Percayalah, dengan kasih sayang kita mampu menakluki hati dan juga mampu menakluk dunia sebagaimana pendekatan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan dakwahnya ke seluruh pelusuk dunia.
Wujudnya kita dari dalam rahim ibu ketika bayi dan hingga kita dewasa adalah kerana kasih sayang kedua ibu bapa kita iaitu pancaran dari kasih sayang Tuhan. Kita tidak boleh hidup tanpa kasih sayang. Kasih sayang itu makanan rohani. Siapa yang tidak dapat merasai kasih sayang, rohaninya dan jiwanya akan menderita terseksa dan hilang kebahagiaan. Kasih sayang ialah perkara rasa. Ia mainan hati. Ia adalah fitrah semulajadi.
Fitrah semulajadi manusia adalah sama. Tidak kira asal keturunannya. Tidak kira bangsanya. Tidak kira agamanya, negaranya atau di zaman mana dia hidup. Fitrah semulajadi manusia tetap sama. Kasih sayang adalah tuntutan fitrah. Fitrah suka dikasihi dan mengasihi. Suka disayangi dan menyayangi. Inilah mesej yang perlu dibawa kepada semua umat manusia. Kasih sayang atau love and care mesti disebarkan seluas-luasnya di kalangan umat manusia.
Perpaduan, kedamaian dan keharmonian juga adalah tuntutan fitrah semulajadi manusia. Semua manusia tidak kira bangsa, agama dan warna kulit sukakan perpaduan. Semua manusia sukakan kedamaian. Semua manusia sukakan keharmonian. Manusia benci kepada krisis, perpecahan dan pergaduhan. Manusia benci kepada huru hara dan kacau bilau. 
Sebagai kesimpulannya konsep sekolah penyayang ini perlu dimantapkan dari segi pelaksanaannya di setiap sekolah dan ia akan memberi kesan yang baik kepada senario pendidikan sekiranya ianya dilaksanakan dari hati yang ikhlas

Tiada ulasan: