Jumaat, 7 Mac 2014

PBS - Tetap DIlaksanakan Akhir Mac


P Kamalanathan
KANGAR - Sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang ditambah baik akan tetap dilaksana pada akhir bulan ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan.
  
Beliau berkata penangguhan sementara pelaksanaan PBS untuk dikaji semula adalah berikutan pelbagai aduan berkaitan kaedah dan masalah sistem pengkomputeran diterima daripada golongan guru.
  
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata PBS terpaksa ditangguh sehingga April ini kerana Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya berikutan pelbagai masalah untuk merekod butiran pelajar dalam pangkalan data sistem berkenaan.
  
Kamalanathan berkata PBS yang ditambah baik lebih mesra guru, kurang maklumat yang perlu dimasukkan selain sistem pengkomputeran dipertingkat bagi membolehkan akses selepas ini lebih cepat dan pantas.
  
"Kementerian sedar semua masalah itu kerana Hotline dan 'war room' kita di Putrajaya menerima lebih 10,000 maklumat daripada golongan guru di seluruh negara yang membantu menambah baik PBS," katanya.

Kamalanathan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2015 serta berdialog dengan staf dan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus tetap universiti itu di Pauh Putra hari ini.
  
Turut hadir Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin.
  
PBS adalah transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik namun sejak tahun lepas, golongan guru mendakwa ia membebankan mereka kerana sistem aplikasi pengkomputerannya sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.
  
Mengulas Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kamalanathan berkata beliau akan menjelajah semua universiti awam dan swasta tempatan bagi menerangkan hasrat kerajaan dan hala tuju pendidikan negara.
  
Beliau berkata pelan itu sukar mencapai kejayaan jika mahasiswa tidak memahami inti patinya dan hasrat kerajaan Barisan Nasional dalam memajukan pendidikan negara ke arah mencapai kelas dunia.
  
Dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata kumpulan pertama hampir 100 guru bahasa Inggeris dari India dijangka tiba untuk bertugas di negara ini dalam beberapa bulan lagi.
  
Beliau berkata pengambilan guru berkenaan dimuktamad dan mereka akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai tenaga pengajar bagi melatih guru bahasa Inggeris tempatan mempertingkat penguasaan mereka dalam bahasa berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: