Ahad, 2 Mac 2014

Ciri Bilik Darjah Kondusif - Oleh Arkitek Bangsa


 

Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah  persekitaran yang mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. 

1.  Susunan fizikal bilik darjah
 Meja dan kerusi murid-murid disusun dengan kemas dan rapi mengikut kumpulan. Meja dan kerusi dalam bilik darjah tahap satu disusun mengikut kumpulan manakala kerusi dan meja dalam bilik darjah tahap dua disusun secara berpasangan. Pembahagian murid-murid kepada beberapa kumpulan kerana kebolehan murid-murid adalah berbeza antara satu sama lain. Dengan susunan fizikal bilik darjah seperti ini memudahkan interaksi antara murid dengan murid dan guru dengan murid.



2. Saiz bilik darjah
 Bilik darjah yang agak kecil dan murid-murid tidak dapat bergerak bebas dalam bilik darjah dan akan mengakibatkan murid-murid tidak mempunyai semangat untuk bertanya kepada kawan-kawan semasa menghadapi masalah dalam pembelajaran. Saiz bilik darjah yang besar akan memberikan keselesaan semasa murid-murid bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti dijalankan di dalam bilik darjah.

3. Kemudahan bilik darjah
 Kerusi dan meja, papan hitam, kipas, tingkap, pintu, papan pameran, rak-rak dan sebagainya hendaklah disediakan dengan lengkap dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik. Hasil-hasil kerja murid juga diletakkan atau digantungkan di tempat atau di rak yang sesuai dalam bilik darjah. Keadaan ini akan membangkitkan semangat belajar murid-murid dalam bilik darjah.

4. Pengurusan rutin bilik darjah
 Guru menyediakan jadual tugas untuk murid-murid mengikut kebolehan atau fizikal mereka. Jika murid tersebut tinggi, guru akan memberikan dia tugas mengelap tingkap atau pintu. Bagi murid-murid yang bertenaga, guru akan memberikan tugas seperti mengambil sebaldi air untuk kawan-kawan yang bertugas mengelap tingkap dan pintu. Bagi murid-murid yang berbadan kecil, guru akan memberi tugas seperti menyapu lantai, membuang sampah, menyusun kerusi dan meja dan lain-lain lagi kepada mereka. Tujuan pembahagian tugas seperti ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta keadaan fizikal bilik darjah yang bersih dan teratur.

5. Hubungan guru dan murid 

 Murid sekolah rendah hanya akan mendengar ajaran daripada seseorang yang mereka mempercayai. Oleh itu, para guru perlu membina hubungan yang erat dengan para murid. Para guru memberi kasih sayang dan dorongan kepada semua murid tanpa mengira kaum. Lama-kelamaan, kepercayaan diwujudkan antara guru dengan murid. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan berkesan. Malahan, guru yang baik sentiasa dijadikan teladan bagi murid. Oleh itu, guru amat berpengaruh dalam membina sikap positif murid.

Secara kesimpulannya, pengurusan bilik darjah yang baik merupakan salah satu faktor meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid di sekolah akan menikmati dan menggunakan kemudahan yang amat lengkap dan melahirkan anak-anak murid yang cemerlang.

Tiada ulasan: