Khamis, 14 November 2013

UPSR 2013

UP2 PETALING JAYA: Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pada Khamis.
Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).
“Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).
“Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini.
Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu.
Abd Ghafar berkata prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM Penulisan berbanding tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun lepas.
“Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini,” katanya.
Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas, dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0 peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Bagi mata pelajaran Matematik, Abd Ghafar berkata ia menurun sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lepas dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing menurun sebanyak 1.2 peratus dan 0.08 peratus, Gred D menurun 0.2 peratus dan Gred E meningkat 1.0 peratus.
Bagi Sains, beliau berkata ia menurun sebanyak 0.02 mata GPMP berbanding tahun lepas dan peratusan calon yang mendapat Gred A kekal pada 22.6 peratus seperti tahun lepas.
“Peratusan calon mendapat Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred D menurun 0.7 peratus dan Gred meningkat 0.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata mata pelajaran Bahasa Cina (Pemahaman) menurun 0.04 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A turun sebanyak 3.0 peratus dan Gred A,B dan C juga menurun sebanyak 0.1 peratus, Gred D meningkat 0.2 peratus dan Gred E menurun 0. 1 peratus berbanding tahun lepas.
Bagi Bahasa Cina (Penulisan), beliau berkata ia turut menurun sebanyak 0.02 mata GPMP, dengan calon yang mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing menurun 0.1 peratus dan 0.5 peratus manakala Gred D menurun sebanyak 0.3 peratus dan Gred E meningkat 0.9 peratus.
Abd Ghafar berkata bagi Bahasa Tamil (Pemahaman), mencatatkan peningkatan sebanyak 0.21 mata GPMP berbanding 2012 dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing meningkat 7.2 peratus dan 5.4 peratus manakala Gred D dan Gred E menurun sebanyak 5.4 peratus.
“Prestasi keseluruhan Bahasa Tamil (Penulisan) menurun sebanyak 0.06 mata. Peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing menurun sebanyak 3.9 peratus dan 0.5 peratus. Peratusan calon mendapat Gred D menurun sebanyak 0.1 peratus dan Gred E meningkat sebanyak 0.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata pencapaian calon secara keseluruhan di bandar dan luar bandar pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang sama dengan perbezaan gred purata sebanyak 0.04 mata.
Beliau berkata seramai 25,685 calon UPSR bandar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran manakala 16,960 calon di luar bandar.
“Peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang (semua gred A dalam semua mata pelajaran) di bandar meningkat sebanyak 0.20 peratus dan di luar bandar meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding tahun lepas.
“Ini menunjukkan jurang pencapaian cemerlang antara calon di bandar dan di luar bandar semakin mengecil iaitu sebanyak 0.07 peratus,” katanya.
Bagi pencapaian calon berkeperluan khas tahun ini, Abd Ghafar berkata calon mendapat keputusan Cemerlang menurun sebanyak 0.08 peratus, iaitu 12 orang berbanding 25 calon pada tahun lepas.
“12 calon yang mendapat pencapaian Cemerlang terdiri daripada tiga calon rabun, dua calon spastik dan tujuh calon lain-lain kecacatan,” katanya.
Abd Ghafar berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang bagi semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.21 peratus, iaitu daripada 8.94 peratus pada tahun lepas kepada 9.15 peratus pada tahun ini.
Beliau berkata sebanyak 56.28 peratus pelajar mendapat minimum Gred C pada tahun ini.
“Calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum (mendapat Gred D dan Gred E atau kombinasi kedua-dua gred) menurun sebanyak 0.06 peratus kepada 3.36 peratus tahun ini,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: