Selasa, 26 November 2013

Kementerian Pendidikan tidak janjikan penempatan kepada graduan – Mary Yap

guru1 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kian Ching.
Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar daripada mereka bukan ditaja oleh Kementerian Pendidikan dan tidak ada sebarang ikatan perjanjian dengan pihak kementerian.

“Penempatan graduan adalah berdasarkan kepada kekosongan perjawatan yang ada. Apabila bekalan diterima, penempatan dilaksanakan mengikut kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen,” katanya.
Yap berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini. Abdul Rahman bertanyakan mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan dalam mengatasi kelewatan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sejak akhir-akhir ini.

Beliau menambah, mulai 2012, pelantikan dan penempatan graduan pendidikan keluaran IPTA dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak lagi secara automatik, tetapi secara lantikan tetap dan tidak lagi lantikan secara sandaran.

“Kementerian Pendidikan berpandangan bahawa tidak timbul isu kelewatan dalam penempatan guru baharu memandangkan semua graduan pendidikan perlu menjalani prosedur pelantikan dan penempatan yang telah ditetapkan,” kata Yap.

Jelasnya, graduan pendidikan yang tamat pengajian dan diperakukan oleh senat IPTA/IPG perlu memohon di portal www.jobsmalaysia.com bagi tujuan panggilan temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Yab berkata bakal guru hanya akan ditempatkan di sekolah-sekolah setelah mereka lulus temuduga dan diperakui oleh pihak SPP.

“Ini bertujuan untuk memastikan guru-guru yang dilantik berkualiti dan memenuhi standard guru Malaysia. Mereka akan ditempatkan ke sekolah dengan tawaran jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41,” katanya.- BERNAMA.

kredit:sgb 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ermmm