Selasa, 24 Disember 2013

PERANCANGAN TUGAS PERSEKOLAHAN 2014 (MEASURE TWICE, CUT ONCE)

 
 
 Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Si jaguh datang dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. (Pihak) yang batil dengan perancangan dapat mengalahkan (pihak) yang benar tanpa perancangan.

Demikian antara maksim tentang kepentingan proses merancang dalam kehidupan insan sama ada sebagai individu, masyarakat, organisasi, pemimpin dan negara. Falsafah tukang kayu mengatakan bahawa ukur dua kali, potong sekali sahaja. Peribahasa Melayu juga mengungkapkan kebijaksanaan perancangan, iaitu ukur baju di badan sendiri; jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga; jika memandang bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi, dan banyak lagi.

Sekolah sebagai organisasi yang mempupuk pembelajaran sudah pasti meletakkan proses perancangan sebagai keutamaan kritikal dan teratas. Sering disebut bahawa perancangan mewakili 80 peratus komponen kejayaan. Teori pengurusan klasik yang begitu dikenali dengan singkatan POSdCorb telah dipopularkan oleh Luther Gulick dan Lyndall Urwick, 1937 (klik di sini) meletakkan perancangan sebagai komponen pertama.

Jumlah minimum hari persekolahan di Malaysia ialah 190 hari, termasuk kelayakan cuti peristiwa sebanyak empat hari yang tidak perlu diganti. Jumlah minggu persekolahan pula ialah 42 minggu, termasuk peperiksaan awam yang dijalankan dalam musim persekolahan. Pihak sekolah juga perlu mengambil kira peristiwa luar jangka (ad-hoc) yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar melindungi masa instruksional murid (MMIM), iaitu mengoptimumkan keberadaan guru di sekolah.

Salah satu dokumen tatacara rasmi operasi sekolah (SOP) ialah manual takwim persekolahan dan direktori pengurusan yang memperinci agihan tugas guru dan tarikh yang perlu dipatuhi. Antara dokumen rujukan penting dalam merancang tugas persekolahan sesuatu tahun ialah kalendar lengkap, senarai cuti kelepasan am persekutuan, cuti negeri dan cuti peristiwa sekolah (klik di sini dan di sini). Pelaksanaan aktiviti kurikulum di bilik darjah juga mesti akur dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa kurikulum yang dianggotai oleh pentadbiran sekolah dan semua ketua panitia yang mengambil kira peruntukan hari ujian dan peperiksaan dalaman. 

Mesyuarat guru dan mesyuarat teragih (dalam kumpulan yang lebih kecil) perlu diatur dengan cekap supaya sentiasa bersifat adil dan produktif. Maksudnya, pelaksanaan mesyuarat dibuat secara profesional dan terancang sehingga tidak berlaku pembaziran masa dan tenaga yang meningkatkan bacaan meter tekanan dalam kalangan ahli mesyuarat. Tujuan mesyuarat ialah untuk memenangi kerjasama dan sokongan demi menjayakan sesuatu projek, program dan sistem yang dikehendaki.
 
Oleh:CikguAzhar

Tiada ulasan: