PETALING JAYA: Pencapaian
keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini
adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah
Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pada Khamis.
Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini
dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred
Purata Nasional (GPN).
“Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu
sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun
2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun
ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).
“Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah
kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik
pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di
sini.
Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya
memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21
peratus berbanding tahun lalu.
Abd Ghafar berkata prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di
Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata
Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM
Penulisan berbanding tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis
Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata
GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun
lepas.
“Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah
menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini,”
katanya.
Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi
keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas,
dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus,
Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula
meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata
GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut
meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0
peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0
peratus berbanding tahun lepas.
Bagi mata pelajaran Matematik, Abd Ghafar berkata ia menurun sebanyak
0.03 mata GPMP berbanding tahun lepas dan peratusan calon mendapat Gred
A dan Gred A,B dan C masing-masing menurun sebanyak 1.2 peratus dan
0.08 peratus, Gred D menurun 0.2 peratus dan Gred E meningkat 1.0
peratus.
Bagi Sains, beliau berkata ia menurun sebanyak 0.02 mata GPMP
berbanding tahun lepas dan peratusan calon yang mendapat Gred A kekal
pada 22.6 peratus seperti tahun lepas.
“Peratusan calon mendapat Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred
D menurun 0.7 peratus dan Gred meningkat 0.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata mata pelajaran Bahasa Cina
(Pemahaman) menurun 0.04 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A
turun sebanyak 3.0 peratus dan Gred A,B dan C juga menurun sebanyak 0.1
peratus, Gred D meningkat 0.2 peratus dan Gred E menurun 0. 1 peratus
berbanding tahun lepas.
Bagi Bahasa Cina (Penulisan), beliau berkata ia turut menurun
sebanyak 0.02 mata GPMP, dengan calon yang mendapat Gred A dan Gred A,B
dan C masing-masing menurun 0.1 peratus dan 0.5 peratus manakala Gred D
menurun sebanyak 0.3 peratus dan Gred E meningkat 0.9 peratus.
Abd Ghafar berkata bagi Bahasa Tamil (Pemahaman), mencatatkan
peningkatan sebanyak 0.21 mata GPMP berbanding 2012 dan peratusan calon
mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing meningkat 7.2 peratus
dan 5.4 peratus manakala Gred D dan Gred E menurun sebanyak 5.4 peratus.
“Prestasi keseluruhan Bahasa Tamil (Penulisan) menurun sebanyak 0.06
mata. Peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing menurun
sebanyak 3.9 peratus dan 0.5 peratus. Peratusan calon mendapat Gred D
menurun sebanyak 0.1 peratus dan Gred E meningkat sebanyak 0.6 peratus,”
katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata pencapaian calon secara keseluruhan
di bandar dan luar bandar pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan
prestasi yang sama dengan perbezaan gred purata sebanyak 0.04 mata.
Beliau berkata seramai 25,685 calon UPSR bandar mendapat semua A
dalam semua mata pelajaran manakala 16,960 calon di luar bandar.
“Peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang (semua gred A
dalam semua mata pelajaran) di bandar meningkat sebanyak 0.20 peratus
dan di luar bandar meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding tahun
lepas.
“Ini menunjukkan jurang pencapaian cemerlang antara calon di bandar
dan di luar bandar semakin mengecil iaitu sebanyak 0.07 peratus,”
katanya.
Bagi pencapaian calon berkeperluan khas tahun ini, Abd Ghafar berkata
calon mendapat keputusan Cemerlang menurun sebanyak 0.08 peratus, iaitu
12 orang berbanding 25 calon pada tahun lepas.
“12 calon yang mendapat pencapaian Cemerlang terdiri daripada tiga
calon rabun, dua calon spastik dan tujuh calon lain-lain kecacatan,”
katanya.
Abd Ghafar berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang
bagi semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.21 peratus, iaitu
daripada 8.94 peratus pada tahun lepas kepada 9.15 peratus pada tahun
ini.
Beliau berkata sebanyak 56.28 peratus pelajar mendapat minimum Gred C pada tahun ini.
“Calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap
penguasaan minimum (mendapat Gred D dan Gred E atau kombinasi kedua-dua
gred) menurun sebanyak 0.06 peratus kepada 3.36 peratus tahun ini,”
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan