PASIR PUTEH - Seorang pelajar Maahad Saniah di sini meninggal dunia 
selepas pengsan ketika sedang menduduki peperiksaan kertas satu Bahasa 
Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi tadi.
 
 Kematian Nursyazwani Arifin, 17, disahkan oleh doktor sejurus diberi 
rawatan kecemasan di Hospital Tengku Anis kira-kira 9 pagi.
 
 Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal 
berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik 
Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya 
kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.
 
 Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan
 Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai
 insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika 
ditemui di hospital berkenaan hari ini.
 
 Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah 
mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum
 ini.
 
 "Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik 
tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa.
 
 Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya.
 
 Beliau berkata, Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah 
antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A.
 
 "Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal.
 
 Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan