Kuala Lumpur: Kerajaan menimbang memberikan insentif baru kepada guru mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris berikutan pemansuhan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) mulai 1 Januari tahun depan.
Mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003 (SPP KPM 3/2003), yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, cadangan insentif baru itu akan dimajukan bagi persetujuan agensi pusat.
“Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang menerima BISP akan terus menerima pembayaran itu sehingga akhir tahun 2013,” katanya dalam pekeliling terbaru kementerian itu.
Madinah berkata, kelulusan pembayaran BISP hendaklah dilakukan sebelum tarikh penutupan akaun pada akhir 2013 dan direkodkan dalam buku perkhidmatan pegawai kerajaan.
Katanya, tuntutan BISP yang diterima selepas 1 Januari 2014 tidak akan pertimbangkan.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, jumlah elaun BISP berdasarkan kelayakan dan gred gaji PPP.
PPP bukan siswazah menerima 10 peratus daripada gaji bersih, manakala siswazah lima peratus daripada gaji bersih.
Dasar PPSMI dimansuhkan mulai 2010 dan digantikan dengan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009.
Gesa teruskan elaun BISP
Ketika ditanya langkah kementerian itu, Hashim berkata, pembayaran elaun BISP patut diteruskan kerana masih ada guru Tingkatan Enam yang perlu mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
“Sekiranya kerajaan mahu menggantikan BISP kepada insentif lain, kita harap ia lebih baik berbanding yang terdahulu. Bagaimanapun, kita masih berharap pembayaran elaun seumpama BISP diteruskan kepada guru yang terbabit,” katanya, semalam.
Kerajaan memperkenalkan BISP di bawah PPSMI mulai 2003 berdasarkan keputusan Kabinet 29 Mei 2002.
Layak dipertimbang
Bagi menyokong pelaksanaan dasar itu, PPP yang mengajar mata pelajaran Sains atau Matematik dalam Bahasa Inggeris atau mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam tugas rasmi, layak dipertimbangkan BISP berdasarkan SPP KPM 3/2003
Tiada ulasan:
Catat Ulasan