Sabtu, 16 November 2013

SPPBS - Guru Tertekan

SPPBS
SHAH ALAM – Usaha kerajaan untuk menambah baik Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) disambut baik para guru.
Capaian SPPBS akan ditangguhkan mulai 30 November hingga 31 Disember ini dan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari depan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut bahawa kementerian memandang berat isu capaian SPPBS oleh guru-guru ketika mengisi prestasi pelajar bagi tahun ini.

Seorang guru dari Perak akui sistem SPPBS yang lembap menyumbang kepada bebanan para guru setiap kali mengisi data pelajar.

“Kami memang berdepan macam-macam masalah. Lagi-lagi jika pelajar ponteng sekolah sampai berbulan-bulan atau pelajar dari sekolah agama yang bukan kerajaan kemudian mendaftar masuk ke sekolah kerajaan.

“Untuk cikgu yang pegang banyak kelas memang terbeban,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, masalah ‘server’ yang diperkatakan sejak kebelakangan ini memang berlaku setiap kali  guru mahu memasukkan data pelajar.

"Masalah utama saya rasa ‘server’ sebab kita nak bergerak dari satu petak ke petak lain untuk seorang pelajar pun akan sangkut. Kadang-kadang apabila kita ‘log in’, ia akan ‘log out’ semula.

“Kalau masa tengah teruk, seorang pelajar pun kita tak mampu nak masukkan datanya. Tengah-tengah kita isi markah pun, ia boleh ‘log out’ semula dan tak ‘save’ pun data yang kita isi dari awal.

“Sekarang ini saya nampak mereka fokus pada sistem yang lembap. Mungkin mereka akan ‘upgrade server’ di sana, itu saya tak pasti. Yang beban di sekolah ini mereka tak peduli,” katanya.

Beliau bagaimana pun tidak menolak bahawa perancangan sistem itu memang bagus namun gagal dalam pelaksanaan.

“Cakap tentang perubahan, dah banyak kali mereka buat tapi tak ada kesan yang besar sangat.

“Dalam kementerian ini, perancangannya bagus tapi pelaksanaan di bawah yang bermasalah. Orang bawah tidak bersedia untuk melaksanakan arahan orang atas,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru dari Johor Bahru mengakui berdepan masalah sama ketika menggunakan sistem tersebut.

“Sistem sedia ada wajar dipertingkatkan lagi. Mungkin akhir tahun ini guru-guru serentak mengisi penilaian, sistem semakin bermasalah.

“Apabila masukkan data pelajar, sampai dua, tiga pagi masih ‘loading’,” katanya.

Beliau mengharapkan penambahbaikan itu bakal menyelesaikan masalah sedia ada.

“(Kementerian mahu memastikan sistem itu lebih efisien) itu yang kita harapkan. Kalau boleh tak ada masalah.

“Sebab ia berpanjangan. Setiap bulan perlu masukkan data pelajar, jadi, saya harap selepas ini ia lebih baik dan berkesan,” katanya.

Tiada ulasan: