Selasa, 11 Mac 2014

Bagaimana IBKS Dapat Membantu Pihak Sekolah







Walaupun pengembangan ilmu diberi penekanan namun faktor kualiti jarang sekali diperkatakan dan dipraktikkan. Pengurusan sekolah sering mendengar dan memperkatakan tentang masalah kualiti tetapi usaha serta pengamalan kualiti masih samar dan tidak begitu jelas kepada mereka. Sekolah sebagai institusi pendidikan mempunyai strategi sendiri dalam meningkatkan kualiti dalaman dan luaran mereka. Sekolah mesti dipandang mulia oleh masyarakat luar dan ibu bapa kerana dengan sistem pendidikan yang berkesan mampu melahirkan seorang pelajar yang berkualitidanberketrampilan.

Peranan ibu bapa dan anggota komuniti juga faktor yang boleh menjadikan pendidikan berkualiti. Ibu bapa sebagai anggota masyarakat mesti memainkan peranan yang serius terhadap pendidikan anak-anak mereka. Pendidikan formal di sekolah hanya lebih kurang 6 jam sehari sahaja dan selebihnya pelajar berada di tangan keluarga dan masyarakat. Anggota masyarakat harus memberi maklumat dan maklum balas kepada sekolah serta memberi kerjasama di dalam pelbagai aktiviti pembinaan ilmu yang dijalankan oleh guru dan sekolah.

Penglibatan anggota –anggota masyarakat dalam proses pendidikan juga tidak kurang pentingnya, khususnya institusi-institusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Intitusi Kewangan dan Sekolah berhampiran harus sentiasa berdamping dengan sekolah-sekolah dan guru-guru serta mengambil tahu proses pendidikan di sekolah-sekolah di kawasan masing-masing secara tidak langsung Mereka perlu dilibatkan bersama untuk memainkan peranan dalam menentukan persekitaran selamat kepada pelajar dan penduduk setempat. Konsep “School-Home-Community Partnership” perlu diterapkan dengan mengadakan program-program permuafakatan dan perkongsian yanag melibatkan pihak sekolah,ibu bapa dan masyarakat setempat.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah. Pemuafakatan ini dapat membina kesefahaman tentang tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah. PIBG juga sebagai pelengkap terhadap fungsi Kementerian Pelajaran dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang selesa. PIBG juga berperanan ke arah menjaga kesetabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat.

1.0       Pengenalan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

"Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara. Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

2.0       Elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan

2.1. Pendidikan suatu usaha beterusan

Pendidikan ialah proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat. Maka pendidikan secara berterusan ini adalah bermula sejak pendidikan asas dalam peringkat awal kanak-kanak di rumah dan tadika, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja, dan diteruskan di peringkat selepas sekolah di tempat-tempat seperti institusi pendidikan tinggi, tempat bekerja dan komuniti atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara online dan melalui media massa

2.2  Memperkembangkan potensi individu
Mengikut kajian individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani , emosi, dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi ini adalah terpendam dalam jiwa kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembangkan dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat falsafah pendidikan kebangsaan , unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir seperti :
        i.            Menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.
      ii.            Menguasai kemahiran untuk memperoleh, meningkat dan menyebarkan ilmu.
    iii.            Dapat berfikir secara kritis dan kreatif(KBKK) dan
    iv.            Dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.

Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan tubuh badan individu, seperti memperkembangkan kepada tahap keupayaan seperti:
        i.            Menjaga kesihatan tubuh badan diri
      ii.            Melakukan riadah dengan sempurna
    iii.            Menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap.
    iv.            Memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan
      v.            Meningkatkan daya pengeluaran, demi memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat, iaitu :
        i.            Memperolehi perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal
      ii.            Memiliki perasaan kasih sayang
    iii.            Memiliki semangat kekitaran, muhibbah, kerjasama dan perpaduan dan
    iv.            Mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian 

Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan kebatinan, iaitu :
        i.            Mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya Pencipta
      ii.            Mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri pemberian pencipta
    iii.            Mempunyai perasaan menyedar dan menginsaf terhadap tanggungjawab
    iv.            Dapat memupuk dan membina disiplin kendiri dan
v.            Dapat membentuk akhlak yang mulia
2.3  Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu
Perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna jika dilakukan secara berasingan. Ia harus diperkembangkan secara menyeluruh dan bersepadu. Maka untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga diberi penekanan, disamping kurikulum akademik yang dilaksanakan dalam bilik darjah.

Potensi yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.

2.4  Insan yang seimbang dan harmonis

Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani telah diperkembang secara menyeluruh, bersepadu dan dalam tahap optimum. Insan yang seimbang dan harmonis adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri, keluarga dan negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan berusaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna, demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara selaras, menyuruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu, menikmati keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang.

2.5  Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain.Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki cir-ciri seperti :
        i.            Mencintai ilmu pengetahuan;
      ii.            Gemar membaca;
    iii.            Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan;
    iv.            Sentiasa berusaha meningkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan;
      v.            Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain; dan
    vi.            Berfikiran terbuka, luas dan mendalam.

2.6  Rakyat Malaysia yang berketrampilan

Rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara. Mereka bukan sahaja mampu melaksanakan tugas dalam jangka masa yang singkat tetapi juga dengan cekap dan sempurna. Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :
        i.            Berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan;
      ii.            Mempunyai kemahiran yang sesuai dalam pelaksanakan tugasnya; dan
    iii.            Dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.

2.7 Rakyat Malaysia berakhlak mulia

Rakyat yang memiliki tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh cirri-ciri seperti :
        i.            Mengetahui yang mana nilai baik dan mana yang buruk;
      ii.            Menyedari kesan dan akibat daripada perbuatan baik dan buruk;
    iii.            Mempunyai keyakinan terhadap nilai murni;
    iv.            Dapat menghayati nilai kerohanian kemanusian serta kewarganegaraan; dan
      v.            Mengamalkan kelakuan baik dan mengelakkan perbuatan buruk.

2.8  Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

Rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang sempurna terhadap Tuhan, bangsa dan, negara, dan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah.Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :
        i.            Menyedari tugas dan tanggungjawab adalah amanah dan kewajian;
      ii.            Menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakn dengan sempurna;
    iii.            Sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran;
    iv.            Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara; dan
      v.            Sentiasa berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

3.0 Apakah peranan sekolah dalam menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sekolah sebagai sesebuah organisasi yang dinamik, terbuka, dan kompleks perlu menwujud dan mengekalkan hubungan saling bergantung dengan semua pihak luar. Tanpa unsur saling bergantung bagai pepatah Melayu seperti aur dengan tebing, sekolah tidak dapat memainkan peranan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai visi dan misinya. Esei ini menjelaskan penilaian keberkesanan program yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan sekolah dengan pihak luar. Kaedah dan kerangka penilaian program menggunakan piawaian umum dan antarabangsa dalam pengurusan dan evaluasi program iaitu Model CIPP yang diasaskan oleh Stufflebeam. Walaupun Model CIPP merupakan model penilaian yang agak lama berbanding dengan Model Pengukuran Prestasi Berasaskan Proses, ia masih berkesan dalam penilainan program yang telah dilaksanakan (Gordon, 2008).

Sekolah juga merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Iklim yang mewarnai alam persekolahan sangat memberi kesan yang besar dalam pembentukan individu seseorang. Pengaruh sekolah selepas keluarga dalam pembentukan personality pelajar adalah bersangkut paut dengan kecemerlangan akademik pelajar. Melalui iklim sekolah yang teratur, terkawal, tenang dan tertib yang memungkinkan suasan yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif. Hubungan sosial yang baik antara guru, pelajar, warga sekolah dan masyarakt setempat akan membentuk suatu merupakan menifestasi kepada dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Edmond (1977), Sweeney (1982), Hussein Mahmood (1993) dan Leithwood dan Jantzi (1997) menekankan bahawa Guru Besar perlu mempunyai sesitiviti terhadap bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan membuat keputusan, memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru dan interaksi yang tinggi terhadap guru-guru. Maksudnya di sini, Guru Besar berperanan penting dalam meningkatkan tahap profesionalisme seseorang guru untuk mencapai objektif sekolah yang dengan lebih efektif dan sistematik. 

4.0  Apa itu Komuniti ?
Komuniti adalah suatu kumpulan manusia yang mempunyai persefahaman dalam sesuatu matlamat dan sentiasa berhubung antara satu sama lain. Perkumpulan seperti ini sering bantu membantu dalam sesuatu tugas dan belajar sesama mereka. Setiap ahli merasa perlu untuk mengetahui apakah yang diketahui oleh ahli yang lain dalam komuniti. Dengan menyediakan kemudahan untuk komuniti berhubung sesama mereka, proses pembelajaran akan menjadi lebih baik, pantas dan murah.

4.1  Apakah kepentingan komuniti?
Dalam menuju era globalisasi dan suasana ekonomi yang berasaskan ilmu (k-ekonomi) sesuatu kerja tidak lagi dilakukan secara berseorangan. Penyelesaian masalah yang kompleks serta kepentingan mendapatkan maklumat yang pantas memerlukan manusia bersepakat, berkongsi maklumat, menyelesai masalah, belajar dan berkomunikasi lebih cekap dan pantas dari sebelumnya. Namun demikian, secara realitinya manusia berada di merata tempat, bekerja di luar pejabat dan berhubungan melalui telefon dan internet. Malah mereka yang di dalam sesebuah pejabat pun perlu berjumpa antara satu sama lain.   

Sesuatu kerja boleh dilakukan merentasi organisasi dan sempadan geografi. Akan tetapi kadangkala terdapat beberapa halangan, misalnya aplikasi yang kurang ramah-pengguna, peralatan untuk berhubung kurang berkesan, infrastruktur yang tidak sempurna sehingga menjadikan pengguna kecewa.

4.2  Apakah jenis-jenis komuniti?

Terdapat berbagai jenis komuniti terbentuk dalam sesebuah organisasi:

        i.            Komuniti Sematlamat (Communities of purpose): Sekumpulan orang dari berbagai disiplin dan merentasi organisasi bekerja bersama-sama secara formal dalam suatu tempoh masa projek yang telah ditetapkan. Komuniti Pengamal (Communities of practice): Profesional dari disiplin yang sama datang bergabung untuk berkongsi belajar secara tidak formal, menyelesai masalah secara ad hoc, rangkaian profesional dan saling bantu membantu.  

      ii.            Komuniti Pelanggan (Customer communities): Organisasi yang membentuk kumpulan pelanggan yang bertindak sebagai suara kepada market. Ahli-ahli akan memberi maklumbalas, membantu mengenalpasti masalah, dan mengemukakan pandangan- pandangan untuk memperbaiki perkhidmatan atau pengeluaran. 

    iii.            Komuniti Rantai Penyumbang (Supply chain communities): Organisasi yang menghubungkan penyumbang-penyumbang utama mereka bagi mengurangkan kos operasi dan membentuk amalan pembelian yang lebih berkesan. 

    iv.            Komuniti Pembelajaran (Learning communities): Sekumpulan orang yang bersedia untuk berbahas, dan yang mengikuti secara formal pengalaman pembelajaran. Komuniti ini biasanya menceburi ke dalam komuniti pengamal.

      v.             Komuniti Bergabung (Communities of affiliation): Sekumpulan orang yang berkongsi minat membentuk komuniti untuk pembelajaran yang berterusan, berhubungan, berbincang tentang perkembangan baru, berkongsi sumber, sokongan emosi dan penyelesaian masalah secara ad hoc.

4.3 Apakah perkhidmatan yang disediakan dalam sesebuah komuniti?

Program-program yang bertujuan meningkatkan jalinan hubungan di antara sekolah dan pihak luar adalah:

        i.            Forum/Diskusi untuk berbincang topik berkaitan perkhidmatan anda,

      ii.            Rujukan Pakar untuk nasihat dan menyelesaikan masalah,

    iii.            Meja Bantuan untuk pertolongan rakan komuniti.

    iv.            Artikel dan Bahan Rujukan dan Sesi Perkongsian Ilmu dan Amalan Profesional.

      v.            Polisi dan Garispanduan ICT Kerajaan,

    vi.            Pembangunan kerjaya 

  vii.            Program anak angkat

viii.            Penghuluran bahan-bahan bantuan sekolah dan skim Tuisyen

    ix.            Pemantauan Kolaboratif Kemajuan Pelajar.

4.3.1 Institusi Sekolah.

Sekolah pada hari ini merupakan institusi formal yang melaksanakan proses pendidikan dari tahap prasekolah hinggalah menengah atas. Setiap peringkat disediakan silibus atau kurikulum yang setiapnya mempunyai matlamat dan objektif. Untuk membangunkan proses pendidikan ini satu kumpulan tenaga pengajar dan pengurus dibentuk dan dilatih. Antara lain tujuannya ialah menjaga kualiti pendidikan supaya mencapai tahap yang dikehendaki. Selain itu pemantauan turut dilaksanakan. (Mohd Yusuf Othman .1999). Struktur Pentadbiran dan pengurusan ini dilakukan semata-mata untuk memastikan proses pendidikan terlaksana dengan baik. Jadi, keberkesanan pendidikan di sekolah banyak bergantung kepada interaksi antara pelajar dengan sistem pendidikan, dan antara pelajar dengan gurunya. Guru yang akhirnya menjadi model kepada pelajar.

4.3.2 Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG )

Mengikut Akta Pendidikan KPM 1996, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di semua Sekolah Kerajaan bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibubapa dan guru (PIBG), yang diharapkan dapat membina kesefahamanan tentang tugas dan  PIBG mempunyai peranan yang penting dalam pengurusan sesebuah sekolah. Antaranya ialah membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid, menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah,meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat,meningkatkan keceriaan premis Sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang konduksif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan.Semua ibu bapa dan guru di sekolah ini merupakan ahli PIBG. AJK PIBG dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan & menjalankan tugas dan amanah secara sukarela serta perlu menitikberatkan keikhlasan, keterbukaan dan pengorbanan.

4.3.3 Institusi Masyarakat atau Pihak Luar.

Masyarakat merupakan institusi tidak formal yang mempengaruhi pendidikan seseorang pelajar. Ia berfungsi sebagai wahana yang menerima pelajar di luar aktiviti di sekolah. Keadaan ini wujud kerana masa pelajar lebih banyak terarah untuk beriteraksi sesama rakan sebaya dan masyarakat dalam institusi masyarakat selain intitusi keluarga.Bentuk-bentuk institusi masyarakat yang wujud ialah persatuan belia, badan kebajikan penduduk, badan koperasi, institusi masjid, badan-badan berkanun dan bukan berkanun dan lain-lain lagi. Di peringkat sekolah yang dilihat aktif dan berperanan pada hari ini ialah Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG).Apa yang belaku pada masa kini, sebahagian besar institusi masyarakat ini tidak berkesan dalam melaksanakan fungsinya.

Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan pihak komuniti luar amat penting dan sangat membantu pihak sekolah untuk mencapai kecemerlangan sekolah khususnya para pelajar dan organisasi guru. Tanpa integrasi kerjasama kedua-dua pihak, kejayaan dalam mengurus sesebuah organisasi sukar dicapai. Model Hoover-Dempsey dan Sandler jelas menunjukkan bahawa kebersamaan sekolah dan komuniti boleh dijalin dengan ibu bapa sebagai salah satu dari komponen komuniti sesebuah sekolah itu. Kebersamaan yang tidak pernah wujud tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang boleh belajar seperti yang disebut oleh Gallagher et. al (2005). Model ini menunjukkan bahawa hubungan sekolah dan komuniti dapat diwujudkan sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat memastikan agar pihak guru dan ibu bapa saling memahami perasaan di antara satu sama lain sebagai langkah pertama untuk mewujudkan hubungan harmoni kedua-dua pihak (Berger, 1983).

5.0 Penilaian Program Jalinan Hubungan Sekolah : Pihak Luar

5.1 Pemantauan Kolaboratif Bestari Sekolah & Keluarga

Usaha saya yang dapat menjalinkan hubungan dengan pihak luar untuk meningkatkan mutu bisnes teras iaitu pengajaran dan pembelajaran dimanifestasikan melalui Program Pemantauan Kolaboratif Bestari. Program ini bertujuan untuk memupuk kerjasama dan komitmen ibu bapa untuk memantau kemajuan pelajar setiap minggu.

1.      Penglibatan Aktif Keluarga dan Komuniti Setempat Membantu Peningkatan Prestasi Sekolah Setiap ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mengharapkan anak-anak membantu mereka apabila  dewasa kelak.

2.      Kebanyakan guru juga sedar bahawa penglibatan ibu bapa di sekolah amat penting bagi membantu peningkatan prestasi akademik pelajar kerana pada masa yang sama penglibatan ini dapat membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.

3.      Walaupun demikian, pemahaman pihak sekolah tentang kepentingan dan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa di sekolah dengan lebih bermakna  didapati masih kurang.

4.      Bagi memenuhi hasrat ini, pihak sekolah perlu melakukan pelbagai usaha bagi mendekati pihak ibu bapa supaya mereka melibatkan diri secara sepenuhnya dalam pelbagai program yang dianjurkan.

5.      Kerjasama dan penglibatan ibu bapa di sekolah sebenarnya boleh meliputi pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik, perkembangan sahsiah pelajar, ko kurikulum, pembangunan fizikal sekolah dan lain-lain lagi.

6.       Dalam hal ini, apabila pihak sekolah, pelajar, ibu bapa dan masyarakat masing-masing sudah menganggap diri masing-masing sebagai rakan kongsi bersama dalam pendidikan, maka akan terbentuklah satu komuniti di sekolah yang akan bergerak bersama-sama dalam usaha untuk membantu  peningkatan dalam pembelajaran pelajar.

7.      Komuniti Pembelajaran Sekolah (School Learning Community) merupakan satu komuniti di sekolah yang terdiri daripada  guru/pihak sekolah, pelajar, keluarga/ibu bapa dan masyarakat yang bersama-sama terlibat  untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang pembelajaran pelajar.

8.      Kajian  mendapati bahawa SLC banyak mendatangkan kebaikan kepada semua pihak antaranya menambahbaik keadaan iklim dan prestasi sekolah, menguatkan ikatan persaudaraan, menggalakkan sokongan masyarakat setempat terhadap sekolah dan meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam semua aspek di sekolah.

9.      Antara ciri penting yang terkandung di dalam SLC ialah penglibatan pihak sekolah,pelajar, keluarga dan masyarakat setempat secara bersama-sama dalam pencapaian visi sekolah.

10.  Selain itu, ciri lain ialah sekolah yang mengamalkan SLC akan sentiasa mengalu-alukan kedatangan ibu bapa ke sekolah tanpa mengira latarbelakang ibu bapa pelajar.

11.  Kajian mendapati bahawa pelajar akan berusaha lebih bersungguh-sungguh dan bertingkah laku lebih baik sekiranya mereka mendapati ibu bapa mereka sering dilibatkan dalam pelbagai aktiviti di sekolah pada sepanjang tahun persekolahan.

12.  Seterusnya SLC didapati lebih berfokuskan pencapaian pelajar. Dalam hal ini didapati bahawa pihak sekolah akan melibatkan keluarga dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan dengan tujuan bagi mendapat sokongan dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan prestasi pelajar.

13.  Ini secara tidak langsung akan membantu meneguhkan pelbagai aspek pembelajaran serta kemahiran-kemahiran pelajar di sekolah, misalnya kemahiran membaca, menulis dan mengira di sekolah rendah.

14.  Perkara lain yang ditekankan di dalam SLC adalah wujudnya kerjasama erat antara pihak sekolah dengan komuniti setempat. Pihak sekolah akan berkerjasama dengan masyarakat setempat dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sama ada di dalam atau di luar sekolah pada masa yang dirasakan sesuai dalam usaha bagi meningkatkan kemahiran dan bakat pelajar.

15.  Joyce Epstein (2009) dalam bukunya School, Family and Community Partnership : Your Handbook for Action, telah menggariskan 6 jenis penglibatan ibu bapa yang dapat dianjurkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk  membantu meningkatkan pembelajaran pelajar.

a. Parenting (Keibubapaan) – Melalui penglibatan jenis ini, pihak sekolah boleh membantu pihak keluarga dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan sama ada tentang kemahiran keibubapaan, memberi maklumat tentang perkembangan psikologi anak-anak, serta membantu menyediakan suasana yang dapat memudahkan anak-anak belajar dengan lebih baik di rumah. Penglibatan jenis ini juga secara tidak langsung dapat membantu pihak sekolah memahami latar belakang keluarga dan budaya pelajar berkenaan.

b. Communicating (Berkomunikasi) – Dalam penglibatan jenis ini, pihak sekolah akan berusaha berkomunikasi secara berkesan dengan pihak ibu bapa melalui pelbagai cara dan media dalam usaha untuk membantu pembelajaran pelajar. Misalnya pihak sekolah menggunakan surat bagi menerangkan program-program yang dilaksanakan di sekolah ataupun guru menerangkan kepada pihak ibu bapa tentang perkembangan prestasi semasa anak-anak mereka semasa perjumpaan ibu bapa dengan guru. Selain itu, melalui saluran tertentu, pihak ibu bapa juga boleh memberi maklumbalas terhadap perkara-perkara tertentu kepada pihak sekolah.
c. Volunteering (Kesukarelawanan) – Pihak sekolah boleh melakukan perancangan pelbagai program yang melibatkan ibu bapa di sekolah sama ada sebagai sukarelawan, peserta ataupun sebagai penonton dalam mana-mana aktiviti sekolah. Kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa dalam penganjuran dan pelaksanaan sesuatu aktiviti, secara tidak langsung akan menyumbang kepada kejayaan pelajar. Misalnya aktiviti gotong-royong mengecat bangunan sekolah, ibu bapa membantu pelbagai penganjuran aktiviti pelajar di sekolah.
d. Learning at Home (Pembelajaran di Rumah) – Melalui penglibatan jenis ini, pihak sekolah dapat mendedahkan kepada pihak ibu bapa tentang pelbagai kaedah yang sesuai bagi membantu anak-anak mereka belajar atau menyelesaikan kerja sekolah di rumah. Dalam hal ini, pihak ibu bapa juga dapat berkongsi idea dengan pihak sekolah bagi menyediakan strategi yang sesuai bagi penambahbaikan kerja rumah anak-anak mereka. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan maklumat tentang jenis-jenis kemahiran yang diperlukan untuk belajar di rumah.
e. Decision Making (Pembuatan Keputusan) – Pihak sekolah juga melibatkan ibu bapa sebagai rakan kongsi dalam pembuatan keputusan dalam beberapa aspek di sekolah. Misalnya di dalam penganjuran beberapa aktiviti, mesyuarat PIBG, jawatankuasa bersama dalam program sekolah dan lain-lain.
f. Collaborating with the Community (Bekerjasama dengan Masyarakat Setempat) – Hubungan baik sekolah dengan masyarakat setempat dapat diwujudkan dengan melibatkan pihak jabatan kerajaan, swasta atau badan-badan lain dalam pelbagai program di sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mendidik pelajar dan keluarga mereka tentang cara-cara menjadi warganegara yang baik. 


6.0 Kesimpulann

Setiap jenis penglibatan di atas memerlukan pendekatan yang berbeza. Setiap satunya mempunyai cabaran tersendiri yang perlu ditangani supaya penglibatan sepenuhnya dapat diwujudkan. Selain itu, pengubahsuaian aspek-aspek tertentu amat perlukan supaya penglibatkan yang dilakukan bersesuaian dengan latar belakang keluarga dan masyarakat setempat. Setiap jenis penglibatan akan membawa kesan yang berbeza sama ada terhadap pelajar, ibu bapa, amalan pengajaran guru dan iklim sekolah. Sehubungan itu, pihak sekolah perlulah membuat pilihan yang tepat supaya penglibatan ibu bapa dan masyarakat dapat membantu pencapaian matlamat utama sekolah dengan lebih bermakna.

Dengan menjadi menjadi rakan kongsi yang baik, diharapkan penglibatan pihak ibu bapa dan komuniti setempat akan dapat membantu pihak sekolah meningkatkan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah di siplin di sekolah. Ini kerana tugas bagi penambahbaikan pendidikan anak-anak bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah tetapi juga melibatkan pihak keluarga dan komuniti setempat.

Tiada ulasan: