Memulakan
khidmat sebagai seorang guru baru memanglah banyak keterujaan yang akan
kita alami. Semua perkara/ teori yang dipelajari masa belajar dahulu,
semuanya tak sabar nak dipraktikkan. Walaubagaimanapun jika tidak
berhati-hati dalam aturan langkah, maka silap haribulan kita hanya
membina langkah menuju ke arah kehancuran masa depan dalam bidang
pendidikan. Bagi guru yang baru posting, sudah tentu banyak cabaran dan
dugaan yang menanti anda. Maka saya kongsikan sedikit nasihat kepada
adik-adik yang baru nak posting, supaya memulakan dan mengakhirkan
langkah perguruan anda dengan baik sekali! InshaAllah..
1. Bertanya Dengan Senior
Ini
adalah perkara pertama yang wajib dilakukan oleh guru baru, tetapi
selalunya tidak diambil berat oleh kebanyakan mereka atas alasan ada
cara masing-masing yang tersendiri. Oleh sebab kita di tempat baru, maka
lebih baik kita bertanya kan juga kepada guru-guru senior mengenai
beberapa perkara di sekolah baru. Supaya tak lah nanti banyak perkara
yang kita terlepas. Saya rasa, tak lah kejam sangat cikgu-cikgu senior
nih untuk membantu dan membimbing adik-adik yang baru nak bertapak nih.
Kalau kurang bertanya, silap haribulan banyak benda yang kita kena buat
berulang kali. So tanya! Anggap juga ini sebagai satu cara komunikasi
bagi memulakan perjalanan hidup anda sebagai cikgu baru di tempat baru.
2. Jangan Banyak Komplen
Ini
perkara yang patut dielakkan. Selalunya cikgu baru akan lebih cenderung
untuk komplen itu dan ini. Serba serbi semua tak kena. Maklumlah, dia
kan profesional! Owh, lupa.. Dia sorang saja profesional kat situ kan?
.. Hu3.. Hentikan perbuatan diva anda tu! Sebagai guru baru, lebih baik
jika anda jangan banyak komplen sekalipun mungkin tindakan / cara kerja
di sekolah baru adalah berbeza dengan impian dan harapan anda.
Perhatikan dulu budaya kerja di tempat baru, kemudian baru lah mulakan
tindakan. Jika tidak seperti yang anda harapkan, maka mulakan misi mengubah cara kerja, bermula daripada diri anda sendiri! Kebiasaannya,
secara realiti, guru yang paling banyak komplen di sekolah adalah guru
yang paling banyak tak buat kerja di sekolah! Ye dak? . ;)
3. Minta Subjek Major?
Oleh
sebab masih teruja dengan fantasi zaman belajar di universiti yang
penuh dengan teori, maka kebanyakkan guru baru posting nih akan
menyuarakan hasrat (kadang-kadang berlebihan) kepada pentadbir untuk
mengajar subjek major. Tidak dinafikan memang patut ler, apa ertinya dah
belajar 4/5 tahun, kalau tak mengajar subjek major kan? Yup.. itu lah
harapan dan impiannya. Tapi realitinya, banyak perkara yang perlu
dipertimbangkan dalam memberi aturan untuk guru-guru mengajar subjek apa
di sekolah. Senioriti, kekosongan subjek, bilangan kelas yang terhad,
masa posting serta beberapa faktor lain menyumbang kepada 'mengapa
pentadbir memberi subjek yang tidak sama dengan subjek major anda'. Jika
usaha anda gagal untuk mendapatkan subjek major, maka terima dan
berusaha dengan subjek baru. Tak perlu nak bising-bising. Cuba lagi pada
masa akan datang. Lebih baik redha, serta berusaha daripada kemungkinan
anda telah memberi salah tanggap awal yang buruk kepada barisan
pentadbir..
4. Jangan Memandai-Mandai
Ada
juga dalam kalangan guru baru yang terlebih 'pandai'. Semua benda nak
diatur mengikut aturan dia sendiri, sedangkan anda harus sedar bahawa di
sekolah baru, sudah tentu budaya kerja tak sama seperti di sekolah
ketika anda praktikum. Setiap sekolah mempunyai sistem kerja
masing-masing. Ada sekolah yang langsung tak sibuk, yang agak sibuk,
yang memang sibuk, dan sekolah yang buat-buat sibuk! Jadi, lebih baik
sekiranya pada peringkat awal ini anda menjadi follower dahulu, daripada
cuba menjadi leader. Tak perlu untuk bercita-cita tinggi sangat pada
peringkat awal ini. Perhatikan dulu, barulah buat perancangan. Takut
anda tersilap langkah, maka tak ke mana lah anda sampai ke sudah.
5. Elakkan Kebergantungan Yang Tinggi
Untuk
cikgu baru, kadang-kadang akan wujud juga kebergantungan kepada
guru-guru senior. Boleh, tak jadi masalah. Tetapi, tak perlulah tahap
kebergantungan yang terlalu tinggi sehingga menyusahkan pula cikgu-cikgu
senior. Semua perkara nak diharapkan daripada cikgu senior! Tak patut,
sebab anda juga sudah mendapat latihan perguruan semasa anda di IPG atau
universiti. Jadi, cuba lah berdikari dengan menggunakan ilmu-ilmu dan
pengalaman yang diperolehi semasa anda belajar dahulu. InshaAllah, anda
akan berjaya. Saya sendiri sangat yakin dengan latihan dan pengalaman
yang diberikan oleh pihak IPG dan universiti semasa anda belajar dahulu.
Teruskan usaha anda, dan bina jatidiri anda sebagai guru yang
berwibawa!
6. Redha Dengan Ketentuan
Selalunya
ada yang terlalu excited dengan sekolah baru. Terutamanya yang
dipostingkan ke kawasan pedalaman, ke Sabah dan ke Sarawak. Banyak
pengalaman baru yang diperolehi dan nak diceritakan. 3 hari 3 malam tak
habis nak diceritakan. Tetapi ada juga yang tak dapat nak terima
kenyataan. Memang, sekolah anda jauh.. kat ulu.. kat pedalaman.. Orang
lain tak akan faham.. Yer, memang betul.. tetapi jangan lupa ada juga
dalam kalangan rakan-rakan guru kita yang mengajar di sekolah yang jauh
lebih susah, jauh lebih daif, jauh lebih ulu, jauh lebih pedalaman..
Cuba redha dan bersyukur lah dengan ketentuan kita. Kurangkan mengeluh,
sebaliknya cuba buktikan kepada diri dan masyarakat bahawa kita
sememangnya layak untuk digelar cikgu!
7. Hangat-Hangat Tahi Ayam
Ini
juga sindrom yang patut dielakkan. Oleh sebab baru nak memulakan
kerjaya, maka banyak lah perkara yang ada dalam fikiran untuk nak
dilaksanakan. Semua nak dibuat. Itu lah.. Ini lah.. Tapi akhirnya?
Kecundang! Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sebab kurangnya
semangat dan mudah rasa cepat putus asa. Perlu anda ingat, untuk
memulakan sesuatu adalah sangat mudah! Tetapi untuk mengakhiri sesuatu
dengan baik, adalah sangat susah. Perlu ada istiqamah dan juga semangat
diri yang kental, serta prinsip hidup yang betul dalam membentuk
perlakuan kita. Jika anda bercita-cita untuk menghasilkan sesuatu yang
hebat di sekolah baru, bermula lah dengan idea yang kecil dan mampu
untuk dilaksanakan terlebih dahulu. Kemudian, bila usaha menjadi,
barulah kembangkan idea anda tersebut, sedikit demi sedikit, menjadi
lebih besar dan paling penting, cuba kekalkannya.
8. Post di Facebook
Pada
zaman ICT nih, dengan hampir setiap orang memiliki akaun di laman
sosial, maka silalah gunakan internet dengan bijak sekali! Kerana, dalam
banyak kes, ramai yang tersalah langkah dalam menggunakan kemudahan
tersebut, terutamanya luahan-luahan hati yang tidak perlu di Facebook dan Twitter.
Agak bodoh jika dikatakan seseorang itu tidak tahu bahawa kandungan
laman sosial tersebut boleh dibaca oleh hampir semua orang, termasuk
yang tidak 'Friend'. Maka jagalah pertuturan anda, update status anda
dan komen-komen anda terhadap cikgu senior dan sekolah baru anda, kerana
anda tak tahu pun siapa yang telah curi-curi melihat Facebook anda.
Mungkin Guru Besar / Pengetua anda??
9. Hubungan Dengan Guru Senior
Ringankan
mulut untuk bertegur sapa dengan guru senior sebagai tanda menghormati
kewujudan mereka di sana, serta 'menyedarkan' mereka kepada diri kita
sebagai guru baru di sekolah tersebut. Sekalipun tidak bersambut
daripada guru senior tetapi teruskan juga usaha anda untuk menambat hati
guru-guru senior. Tak rugi pun, modalnya hanya air liur dan sedikit
senyuman manis. InshaAllah, dengan usaha berterusan, guru yang paling
sombong di sekolah pun akan tertawan dengan senyuman manis anda tuh..
Ingat, untuk menjadi guru yang baik di sekolah baru, sudah tentu khidmat
dan pengalaman guru-guru senior amatlah sangat diperlukan.
10. Jangan Tolak Kerja
Ini
juga perkara yang patut dielakkan. Sebagai guru baru yang ingin
memulakan kerjaya guru dengan baik, maka perkara seperti ini tidak
sepatutnya terjadi. Pihak pentadbir tidaklah terlalu ghairah sangat nak
mengerah dan memerah tenaga muda anda. Beban tugas yang diberi adalah
dikira berpadanan dengan tugas anda yang lain. Kalau berlebihan pun,
mungkin disebabkan kekurangan kakitangan dan juga faktor lain. Tak perlu
lah anggap ini adalah bagi tujuan meng'kuli'kan anda. Tetapi sila ambil
perkara ini dengan positif sekali. Anggaplah ini peluang untuk anda
menimba ilmu sebanyak mungkin. Hentikan budaya bising-komplen-bising dan
tukar kepada diam-laksana-diam.
Guru lama tak ada kerja, tapi guru baru tanggugjawab keliling pinggang!!?.
Tak
mengapa, biarkan saja mereka. Anda baru di sana, mungkin cikgu tuh dah
10 tahun pegang jawatan tersebut sebelum daripada anda lagi. Biarkan dia
berehat pula. Kini masa anda pula, dan silalah lakukannya sebaik
mungkin dengan terus bersangka baik. Tak rugi anda dapat pengalaman
lebih!
11. Salah Masuk Geng
Tak
dinafikan di sekolah juga wujud suasana persekitaran politik dan
geng-geng yang tertentu. Geng cikgu bengkel, Geng kaki mengumpat, Geng
kaki merokok, Geng tak masuk kelas, Geng lepak kantin dan bermacam-macam
jenis geng lagi yang ada di sekolah. Libatkan lah diri anda dengan geng
yang betul, supaya ia nya dapat membimbing anda ke arah menjadi
pendidik yang baik. Semoga juga, mereka-mereka tadi dapat memotivasikan
anda untuk melakukan yang terbaik dalam dunia pendidikan. Harus sentiasa
ingat, akan kewajipan utama anda ke sekolah adalah untuk masuk kelas
dan mengajar! Jika kita ke sekolah, tapi tak masuk kelas, tak mengajar,
maka bolehkah kita katakan kita memperolehi sumber pendapatan dan gaji
kita daripada sumber yang halal?. Wallahualam!
kredit:cikguhailmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan