Pengajaran yang dapat melibatkan kemahiran berfikir aras
tinggi di dalam bilik darjah hanya dapat dilakukan setelah guru berjaya mewujudkan
pembelajaran tumpuan murid dan dapat
merancang kerangka pengajaran dengan mengintegrasikan
kemahiran berfikir. Seterusnya guru boleh memikirkan tentang strategi dan
kaedah yang dapat menggalakkan kebolehan kemahiran berfikir.
Maksud berfikir aras tinggi termasuk pemikiran kritikal, logikal, metakognisi dan kreatif. Kesemua kemahiran tercetus apabila murid berhadapan dengan masalah yang tidak biasa dihadapi, ketidakpastian, persoalan dan dilema. Kejayaan mengaplikasi kemahiran-kemahiran ini akan membuahkan penjelasan, membuat keputusan, pencapaian serta hasil yang sah dalam konteks pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh, serta dapat menggalakkan peningkatan pemikiran aras tinggi di samping kemahiran intelektual murid.
Antara istilah-istilah yang dapat dikaitkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi ialah kognisi (Alvino dalam Cotton, 1997), kefahaman (Crowl dan rakan-rakan, 1997), pemikiran kreatif (Fogarty dan Mc Tighe, 1993), pemikiran kritikal (Patrick, 1986), kerangka grafik (Clarke, 1990), inkuiri (Dewey, 1933), celik akal (Gruber, 1995; Gick dan Lockhart, 1995), metakognisi (Crowl dan rakan-rakan, 1997; Pogrow, 1990; Pogrow dan Buchanan, 1985), pemikiran aras tinggi (Bloom, 1956; Haladyna, 1997), penyelesaian masalah (Gagné, Brigg dan Wager, 1988), pemikiran rasional (Ennis dalam Lewis dan Smith, 1993), perancah (Rogoff dalam Crowl, 1997), mencipta (Krathwohl) serta skema (Gick dan Lokhart, 1995).
Proses dan nilai pemikiran aras tinggi diperjelaskan oleh Lewis dan Smith (1993) sebagai pemikiran yang berlaku apabila seseorang menerima maklumat baru dan maklumat tersebut tersimpan dalam memori dan disusun semula serta dikaitkan antara satu dengan lain. Seterusnya maklumat ini diperluaskan untuk mencapai satu tujuan atau mendapatkan kemungkinan jawapan kepada situasi yang mengelirukan. Pelbagai tujuan boleh dicapai melalui pemikiran aras tinggi…. menentukan kepercayaan, menentukan apa yang perlu dilakukan, menghasilkan satu idea baru, satu projek baru atau ekspresi kesenian, membuat jangkaan serta menyelesaikan masalah bukan rutin.
Strategi pengajaran
1. Komunikasi arahan
Kauchak dan Eggen (1998) mendapati strategi berikut dapat menyumbang kepada
komunikasi arahan yang diperlukan untuk menggalakkan kemahiran berfikir aras
tinggi.
a.
Selaraskan
objektif, konten, kemahiran, tugasan, aktiviti dan bahan.
b.
Rancangkan
aktiviti dan tugasan kemahiran berfikir aras tinggi yang tersusun dan diatur
mengikut peruntukan masa yang ditetapkan. Sediakan masalah serta soalan yang
memerlukan murid berfikir menjangkau (beyond) kebiasaan.
c.
Terangkan
tugasan sejelas-jelasnya. Tunjukkan carta alir atau jadual pelaksanaan serta
kerangka kerja. Berikan contoh produk yang terbaik.
d.
Berikan
maklum balas secara berkala yang dapat menjelaskan perkara yang betul atau
kurang betul.
2. Menggunakan perancah
Perancah melibatkan pemberian sokongan kepada murid pada awal pengajaran.
Seterusnya, secara beransur-ansur menyerahkan tanggungjawab kepada murid untuk meneruskan
pembelajaran dan menyelesaikan masalah / tugasan sendiri (Slavin, 1995). Walau
bagaimanapun, menurut Kauchak dan Eggen (1998) perancah seharusnya terbatas
kepada pemberian secukupnya sahaja supaya
murid dapat bergerak maju dengan sendiri. Elakkan daripada memberikan sokongan
apabila murid tidak memintanya kerana hal itu akan mendorong murid untuk
menjangkakan bahawa mereka tidak dapat melakukan sendiri. Kesannya adalah lebih
teruk sekiranyanya berlaku Self Fulfilling Prophecy.
Skema atau skrip atau pengetahuan sedia ada murid adalah tidak sama dan
perkara ini akan mempengaruhi tahap pemahaman mereka tentang pengetahuan baru
tersebut. Menurut Kauchak dan Eggen (1988):-
a.
Perancah
diberikan pada permulaan proses pembelajaran
dan hanya apabila diperlukan sambil disertakan
contoh pemikiran aras tingi yang diperlukan (Clark, 1990; Crowl dan raka-rakan,
1997; Kauchak dan Eggen, 1998).
b.
Berikan
contoh masalah serta penyelesaiannya. Contoh yang tepat akan dapat mengurangkan
kebergantungan murid kepada guru.
c.
Berikan
tugas lanjutan berkaitan pelajaran secara
kerap, yang akan dilaksanakan di rumah.
d.
Kaitkan
dengan situasi dunia kehidupan sebenar.
3. Pengajaran secara langsung.
Arahan langsung biasanya tidak akan dapat menggalakkan pemikiran berfikir
pada aras tinggi (Crowl dan rakan-rakan, 1997) tetapi langkah-langkah berikut
boleh menjadikan arahan langsung lebih berkesan digunakan.
a.
Bataskan
pengunaan kaedah pengajaran secara langsung dengan memperkenalkan strategi dan
kemahiran berfikir yang akan digunakan (Patrick, 1986).
b.
Gabungkan
pengajaran secara langsung dengan latihan berpandu / terbimbing untuk mengajar
tentang isi kandungan dan kemahiran secara berstruktur (Crowl dan rakan-rakan,
1997).
c.
Elakkan
sesi kuliah panjang tetapi kuliah pendek dan ringkas sambil diselang-selikan
dengan soalan, tunjuk cara, perbincangan, tayangan berkaitan atau kuiz untuk
mengelakkan kebosanan. Gunakan pengurusan grafik atau peta minda (Buzan, 2006)
dan i-think thinking map (Agensi
Inovasi Malaysia, tanpa tarikh)
d.
Buat
beberapa rumusan pendek sambil menekankan isi-isi utama pelajaran.
4. Penyoalan
Untuk menjana proses berfikir aras tinggi, soalan yang dikemukakan
seharusnya dapat menghasilkan jawapan yang menarik dan belum diketahui. Soalan
perlu dibina lebih awal dan dirancangkan agar dapat menghasilkan jawapan di
luar jangkaan atau menjangkau kebiasaan (beyond).
a.
Galakkan
murid mengemukakan soalan dan beri peluang kepada rakan mereka untuk memberikan
jawapan (Crowl dan rakan-rakan, 1997)
b.
Mulakan
dengan soalan aras rendah dan perlahan-lahan beralih kepada soalan aras tinggi
(Kauchak dan Eggen, 1998)
c.
Berikan
masa untuk murid menjawab sekiranya guru yang mengemukakan soalan
5. Maklum balas
Maklum balas digunakan untuk memaklumkan kepada murid tentang kemajuan
mereka. Gunakan strategi berikut untuk maklum balas:
a.
Berikan
maklum balas segera,
spesifik dan bersifat pembetulan menggunakan intonasi
positif (Brophy dan Good dalam Kauchak dan Eggen, 1998)
b.
Elakkan
maklum balas yang tidak jujur atau dengan memuji keterlaluan.
6. Aktiviti kumpulan
Bentuk kumpulan yang berkesan dapat dapat menjana pemikiran aras tinggi termasuklah
pembelajaran koperatif, tutor rakan sebaya, perbincangan kumpulan kecil.
Perbincangan kumpulan yang diselia dengan baik akan membolehkan murid terlibat
dengan pemikiran aras tinggi. Pembelajaran koperatif akan meningkatkan motivasi
dan penyertaan murid dalam proses pembelajaran.
7. Penggunaan komputer
Banyak cara boleh digunakan untuk membolehkan murid meningkatkan kemahiran
berfikir mereka dengan menggunakan komputer.
Kredit:UstazahShamsina
Tiada ulasan:
Catat Ulasan