Walaupun
pengembangan ilmu diberi penekanan namun faktor kualiti jarang sekali
diperkatakan dan dipraktikkan. Pengurusan sekolah sering mendengar dan
memperkatakan tentang masalah kualiti tetapi usaha serta pengamalan kualiti
masih samar dan tidak begitu jelas kepada mereka. Sekolah sebagai institusi
pendidikan mempunyai strategi sendiri dalam meningkatkan kualiti dalaman dan
luaran mereka. Sekolah mesti dipandang mulia oleh masyarakat luar dan ibu bapa
kerana dengan sistem pendidikan yang berkesan mampu melahirkan seorang pelajar
yang berkualitidanberketrampilan.
Peranan ibu
bapa dan anggota komuniti juga faktor yang boleh menjadikan pendidikan
berkualiti. Ibu bapa sebagai anggota masyarakat mesti memainkan peranan yang serius
terhadap pendidikan anak-anak mereka. Pendidikan formal di sekolah hanya lebih
kurang 6 jam sehari sahaja dan selebihnya pelajar berada di tangan keluarga dan
masyarakat. Anggota masyarakat harus memberi maklumat dan maklum balas kepada
sekolah serta memberi kerjasama di dalam pelbagai aktiviti pembinaan ilmu yang
dijalankan oleh guru dan sekolah.
Penglibatan
anggota –anggota masyarakat dalam proses pendidikan juga tidak kurang
pentingnya, khususnya institusi-institusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG),
Intitusi Kewangan dan Sekolah berhampiran harus sentiasa berdamping dengan
sekolah-sekolah dan guru-guru serta mengambil tahu proses pendidikan di
sekolah-sekolah di kawasan masing-masing secara tidak langsung Mereka perlu
dilibatkan bersama untuk memainkan peranan dalam menentukan persekitaran
selamat kepada pelajar dan penduduk setempat. Konsep “School-Home-Community
Partnership” perlu diterapkan dengan mengadakan program-program permuafakatan
dan perkongsian yanag melibatkan pihak sekolah,ibu bapa dan masyarakat
setempat.
Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan
untuk mewujudkan pemuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah. Pemuafakatan
ini dapat membina kesefahaman tentang tanggungjawab bersama dalam usaha
meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah. PIBG juga
sebagai pelengkap terhadap fungsi Kementerian Pelajaran dalam menyediakan
prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang selesa. PIBG juga berperanan ke
arah menjaga kesetabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat.
1.0 Pengenalan
"Pendidikan
di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.
"Falsafah pendidikan yang menjadi
panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan
adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke
kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas
yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang
paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK
menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua
tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan
bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik.
Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik,
seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang
paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang
berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk
membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya
kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus
menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus
menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang
baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan
peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada
kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan
menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu
mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu
yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang
amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat
dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan
pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan
mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada
manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam
beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja
untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan
dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan
keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara. Berdasarkan FPK, jelas bahawa
tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau
diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang
supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang
berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
2.0 Elemen
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
2.1. Pendidikan suatu usaha
beterusan
Pendidikan ialah proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan
kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu
pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia. Proses pendidikan ini
merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat. Maka pendidikan secara berterusan
ini adalah bermula sejak pendidikan asas dalam peringkat awal kanak-kanak di
rumah dan tadika, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam
peringkat kanak-kanak dan remaja, dan diteruskan di peringkat selepas sekolah
di tempat-tempat seperti institusi pendidikan tinggi, tempat bekerja dan
komuniti atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara online
dan melalui media massa
2.2
Memperkembangkan potensi individu
Mengikut kajian individu memiliki
pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani , emosi, dan
rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi ini adalah terpendam dalam jiwa
kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembangkan dan meningkatkan
potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat falsafah
pendidikan kebangsaan , unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya
berfikir seperti :
i.
Menguasai kemahiran asas 3M, iaitu
membaca, menulis dan mengira.
ii.
Menguasai kemahiran untuk memperoleh,
meningkat dan menyebarkan ilmu.
iii.
Dapat berfikir secara kritis dan
kreatif(KBKK) dan
iv.
Dapat memanfaatkan ilmu dan
kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.
Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan
tubuh badan individu, seperti memperkembangkan kepada tahap keupayaan seperti:
i.
Menjaga kesihatan tubuh badan diri
ii.
Melakukan riadah dengan sempurna
iii.
Menggunakan bakat dan kemahiran
teknikal/manipulatif dengan cekap.
iv.
Memanfaatkan tenaga fizikal secara
berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan
v.
Meningkatkan daya pengeluaran, demi
memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan
jiwa yang sihat dan kuat, iaitu :
i.
Memperolehi perasaan tenaga dan
tingkah laku yang terkawal
ii.
Memiliki perasaan kasih sayang
iii.
Memiliki semangat kekitaran,
muhibbah, kerjasama dan perpaduan dan
iv.
Mempunyai kemahiran menilai dan
menghargai keindahan dan kesenian
Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat
kejiwaan dan kebatinan, iaitu :
i.
Mempunyai perasaan menyedari dan
mengingati adanya Pencipta
ii.
Mempunyai perasaan menghargai dan
mensyukuri pemberian pencipta
iii.
Mempunyai perasaan menyedar dan
menginsaf terhadap tanggungjawab
iv.
Dapat memupuk dan membina disiplin
kendiri dan
v.
Dapat membentuk akhlak yang mulia
2.3
Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu
Perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna
jika dilakukan secara berasingan. Ia harus diperkembangkan secara menyeluruh
dan bersepadu. Maka untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga
mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga
diberi penekanan, disamping kurikulum akademik yang dilaksanakan dalam bilik
darjah.
Potensi yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan
ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang
saling berkait di antara satu sama lain.
2.4
Insan yang seimbang dan harmonis
Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu
intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani telah diperkembang secara
menyeluruh, bersepadu dan dalam tahap optimum. Insan yang seimbang dan harmonis
adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab
diri, keluarga dan negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan berusaha
menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, dan melaksanakan tanggungjawab
sebagai anggota masyarakat yang berguna, demi kemajuan diri, keluarga, bangsa
dan negara.
Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh
dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara
selaras, menyuruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis
adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu, menikmati
keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis
sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup
serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran
yang tenang.
2.5
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu
pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain.Rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki cir-ciri
seperti :
i.
Mencintai ilmu pengetahuan;
ii.
Gemar membaca;
iii.
Sentiasa berusaha menambah ilmu
pengetahuan;
iv.
Sentiasa berusaha meningkatkan dan
menyebarkan ilmu pengetahuan;
v.
Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan
diri dan orang lain; dan
vi.
Berfikiran terbuka, luas dan
mendalam.
2.6
Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran
sentiasa rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara. Mereka bukan sahaja
mampu melaksanakan tugas dalam jangka masa yang singkat tetapi juga dengan
cekap dan sempurna. Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang
memiliki ciri-ciri seperti :
i.
Berilmu pengetahuan dan berkelayakan
yang sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan;
ii.
Mempunyai kemahiran yang sesuai
dalam pelaksanakan tugasnya; dan
iii.
Dapat melaksanakan tugas dengan
cekap dan sempurna.
2.7 Rakyat Malaysia berakhlak mulia
Rakyat yang memiliki tingkah laku yang bersopan santun,
berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.Rakyat
Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh cirri-ciri seperti :
i.
Mengetahui yang mana nilai baik dan
mana yang buruk;
ii.
Menyedari kesan dan akibat daripada
perbuatan baik dan buruk;
iii.
Mempunyai keyakinan terhadap nilai
murni;
iv.
Dapat menghayati nilai kerohanian
kemanusian serta kewarganegaraan; dan
v.
Mengamalkan kelakuan baik dan
mengelakkan perbuatan buruk.
2.8
Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
Rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang sempurna terhadap
Tuhan, bangsa dan, negara, dan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan
amanah.Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah rakyat yang memiliki
ciri-ciri seperti :
i.
Menyedari tugas dan tanggungjawab
adalah amanah dan kewajian;
ii.
Menyedari tugas dan tanggungjawab
harus dilaksanakn dengan sempurna;
iii.
Sentiasa berusaha meningkatkan daya
pengeluaran;
iv.
Sentiasa mematuhi peraturan dan
undang-undang negara; dan
v.
Sentiasa berusaha memajukan diri,
keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.
3.0 Apakah peranan sekolah dalam
menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Sekolah sebagai sesebuah organisasi yang dinamik, terbuka,
dan kompleks perlu menwujud dan mengekalkan hubungan saling bergantung dengan
semua pihak luar. Tanpa unsur saling bergantung bagai pepatah Melayu seperti
aur dengan tebing, sekolah tidak dapat memainkan peranan dengan cekap dan
berkesan untuk mencapai visi dan misinya. Esei ini menjelaskan penilaian
keberkesanan program yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan sekolah dengan
pihak luar. Kaedah dan kerangka penilaian program menggunakan piawaian umum dan
antarabangsa dalam pengurusan dan evaluasi program iaitu Model CIPP yang
diasaskan oleh Stufflebeam. Walaupun Model CIPP merupakan model penilaian yang
agak lama berbanding dengan Model Pengukuran Prestasi Berasaskan Proses, ia
masih berkesan dalam penilainan program yang telah dilaksanakan (Gordon, 2008).
Sekolah juga merupakan institusi penting untuk
merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan
sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid
memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat
setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada
khazanah ilmu yang sedia ada. Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek
kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin
murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.
Iklim yang mewarnai alam
persekolahan sangat memberi kesan yang besar dalam pembentukan individu seseorang.
Pengaruh sekolah selepas keluarga dalam pembentukan personality pelajar adalah
bersangkut paut dengan kecemerlangan akademik pelajar. Melalui iklim sekolah
yang teratur, terkawal, tenang dan tertib yang memungkinkan suasan yang
kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif.
Hubungan sosial yang baik antara guru, pelajar, warga sekolah dan masyarakt
setempat akan membentuk suatu merupakan menifestasi kepada dasar Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
Edmond (1977), Sweeney (1982), Hussein Mahmood (1993) dan
Leithwood dan Jantzi (1997) menekankan bahawa Guru Besar perlu mempunyai
sesitiviti terhadap bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan
membuat keputusan, memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru
dan interaksi yang tinggi terhadap guru-guru. Maksudnya di sini, Guru Besar
berperanan penting dalam meningkatkan tahap profesionalisme seseorang guru
untuk mencapai objektif sekolah yang dengan lebih efektif dan sistematik.
4.0
Apa itu Komuniti ?
Komuniti adalah suatu kumpulan manusia yang mempunyai persefahaman dalam
sesuatu matlamat dan sentiasa berhubung antara satu sama lain. Perkumpulan
seperti ini sering bantu membantu dalam sesuatu tugas dan belajar sesama
mereka. Setiap ahli merasa perlu untuk mengetahui apakah yang diketahui oleh
ahli yang lain dalam komuniti. Dengan menyediakan kemudahan untuk komuniti
berhubung sesama mereka, proses pembelajaran akan menjadi lebih baik, pantas
dan murah.
4.1
Apakah kepentingan komuniti?
Dalam menuju era globalisasi dan suasana ekonomi yang berasaskan ilmu
(k-ekonomi) sesuatu kerja tidak lagi dilakukan secara berseorangan. Penyelesaian
masalah yang kompleks serta kepentingan mendapatkan maklumat yang pantas
memerlukan manusia bersepakat, berkongsi maklumat, menyelesai masalah, belajar
dan berkomunikasi lebih cekap dan pantas dari sebelumnya. Namun demikian,
secara realitinya manusia berada di merata tempat, bekerja di luar pejabat dan
berhubungan melalui telefon dan internet. Malah mereka yang di dalam sesebuah
pejabat pun perlu berjumpa antara satu sama lain.
Sesuatu kerja boleh dilakukan merentasi organisasi dan sempadan
geografi. Akan tetapi kadangkala terdapat beberapa halangan, misalnya aplikasi
yang kurang ramah-pengguna, peralatan untuk berhubung kurang berkesan,
infrastruktur yang tidak sempurna sehingga menjadikan pengguna kecewa.
4.2
Apakah jenis-jenis komuniti?
Terdapat berbagai jenis komuniti terbentuk dalam sesebuah
organisasi:
i.
Komuniti Sematlamat (Communities of
purpose): Sekumpulan orang dari berbagai disiplin dan merentasi organisasi
bekerja bersama-sama secara formal dalam suatu tempoh masa projek yang telah
ditetapkan. Komuniti Pengamal (Communities of practice): Profesional dari
disiplin yang sama datang bergabung untuk berkongsi belajar secara tidak
formal, menyelesai masalah secara ad hoc, rangkaian profesional dan saling bantu
membantu.
ii.
Komuniti Pelanggan (Customer
communities): Organisasi yang membentuk kumpulan pelanggan yang bertindak
sebagai suara kepada market. Ahli-ahli akan memberi maklumbalas, membantu
mengenalpasti masalah, dan mengemukakan pandangan- pandangan untuk memperbaiki
perkhidmatan atau pengeluaran.
iii.
Komuniti Rantai Penyumbang (Supply
chain communities): Organisasi yang menghubungkan penyumbang-penyumbang utama
mereka bagi mengurangkan kos operasi dan membentuk amalan pembelian yang lebih
berkesan.
iv.
Komuniti Pembelajaran (Learning
communities): Sekumpulan orang yang bersedia untuk berbahas, dan yang mengikuti
secara formal pengalaman pembelajaran. Komuniti ini biasanya menceburi ke dalam
komuniti pengamal.
v.
Komuniti Bergabung (Communities of affiliation):
Sekumpulan orang yang berkongsi minat membentuk komuniti untuk pembelajaran
yang berterusan, berhubungan, berbincang tentang perkembangan baru, berkongsi
sumber, sokongan emosi dan penyelesaian masalah secara ad hoc.
4.3 Apakah perkhidmatan yang
disediakan dalam sesebuah komuniti?
Program-program yang bertujuan meningkatkan jalinan hubungan
di antara sekolah dan pihak luar adalah:
i.
Forum/Diskusi untuk berbincang topik
berkaitan perkhidmatan anda,
ii.
Rujukan Pakar untuk nasihat dan
menyelesaikan masalah,
iii.
Meja Bantuan untuk pertolongan rakan
komuniti.
iv.
Artikel dan Bahan Rujukan dan Sesi
Perkongsian Ilmu dan Amalan Profesional.
v.
Polisi dan Garispanduan ICT
Kerajaan,
vi.
Pembangunan kerjaya
vii.
Program anak angkat
viii.
Penghuluran bahan-bahan bantuan
sekolah dan skim Tuisyen
ix.
Pemantauan Kolaboratif Kemajuan
Pelajar.
4.3.1 Institusi Sekolah.
Sekolah pada hari ini merupakan institusi formal yang
melaksanakan proses pendidikan dari tahap prasekolah hinggalah menengah atas.
Setiap peringkat disediakan silibus atau kurikulum yang setiapnya mempunyai
matlamat dan objektif. Untuk membangunkan proses pendidikan ini satu kumpulan
tenaga pengajar dan pengurus dibentuk dan dilatih. Antara lain tujuannya ialah
menjaga kualiti pendidikan supaya mencapai tahap yang dikehendaki. Selain itu
pemantauan turut dilaksanakan. (Mohd Yusuf Othman .1999). Struktur Pentadbiran
dan pengurusan ini dilakukan semata-mata untuk memastikan proses pendidikan
terlaksana dengan baik. Jadi, keberkesanan pendidikan di sekolah banyak
bergantung kepada interaksi antara pelajar dengan sistem pendidikan, dan antara
pelajar dengan gurunya. Guru yang akhirnya menjadi model kepada pelajar.
4.3.2 Persatuan Ibu Bapa & Guru
(PIBG )
Mengikut Akta Pendidikan KPM 1996, Persatuan Ibubapa dan
Guru (PIBG) ditubuhkan di semua Sekolah Kerajaan bertujuan untuk mewujudkan
permuafakatan antara ibubapa dan guru (PIBG), yang diharapkan dapat membina
kesefahamanan tentang tugas dan PIBG
mempunyai peranan yang penting dalam pengurusan sesebuah sekolah. Antaranya
ialah membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid,
menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di
Sekolah,meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan
antara Sekolah dengan masyarakat setempat,meningkatkan keceriaan premis Sekolah
supaya dapat mewujudkan suasana yang konduksif bagi menjayakan aktiviti dan
program pendidikan.Semua ibu bapa dan guru di sekolah ini merupakan ahli PIBG.
AJK PIBG dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan & menjalankan tugas dan
amanah secara sukarela serta perlu menitikberatkan keikhlasan, keterbukaan dan
pengorbanan.
4.3.3 Institusi Masyarakat atau
Pihak Luar.
Masyarakat merupakan institusi tidak formal yang
mempengaruhi pendidikan seseorang pelajar. Ia berfungsi sebagai wahana yang
menerima pelajar di luar aktiviti di sekolah. Keadaan ini wujud kerana masa
pelajar lebih banyak terarah untuk beriteraksi sesama rakan sebaya dan
masyarakat dalam institusi masyarakat selain intitusi keluarga.Bentuk-bentuk
institusi masyarakat yang wujud ialah persatuan belia, badan kebajikan
penduduk, badan koperasi, institusi masjid, badan-badan berkanun dan bukan
berkanun dan lain-lain lagi. Di peringkat sekolah yang dilihat aktif dan
berperanan pada hari ini ialah Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG).Apa yang
belaku pada masa kini, sebahagian besar institusi masyarakat ini tidak berkesan
dalam melaksanakan fungsinya.
Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan pihak
komuniti luar amat penting dan sangat membantu pihak sekolah untuk mencapai
kecemerlangan sekolah khususnya para pelajar dan organisasi guru. Tanpa
integrasi kerjasama kedua-dua pihak, kejayaan dalam mengurus sesebuah organisasi
sukar dicapai. Model Hoover-Dempsey dan Sandler jelas menunjukkan bahawa
kebersamaan sekolah dan komuniti boleh dijalin dengan ibu bapa sebagai salah
satu dari komponen komuniti sesebuah sekolah itu. Kebersamaan yang tidak pernah
wujud tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang boleh belajar seperti yang
disebut oleh Gallagher et. al (2005). Model ini menunjukkan bahawa hubungan
sekolah dan komuniti dapat diwujudkan sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat
memastikan agar pihak guru dan ibu bapa saling memahami perasaan di antara satu
sama lain sebagai langkah pertama untuk mewujudkan hubungan harmoni kedua-dua
pihak (Berger, 1983).
5.0 Penilaian Program Jalinan
Hubungan Sekolah : Pihak Luar
5.1 Pemantauan Kolaboratif Bestari Sekolah & Keluarga
Usaha saya yang dapat menjalinkan hubungan dengan pihak luar
untuk meningkatkan mutu bisnes teras iaitu pengajaran dan pembelajaran
dimanifestasikan melalui Program Pemantauan Kolaboratif Bestari. Program ini
bertujuan untuk memupuk kerjasama dan komitmen ibu bapa untuk memantau kemajuan
pelajar setiap minggu.
1. Penglibatan Aktif Keluarga dan
Komuniti Setempat Membantu Peningkatan Prestasi Sekolah Setiap ibu bapa
inginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mengharapkan anak-anak
membantu mereka apabila dewasa kelak.
2. Kebanyakan guru juga sedar bahawa
penglibatan ibu bapa di sekolah amat penting bagi membantu peningkatan prestasi
akademik pelajar kerana pada masa yang sama penglibatan ini dapat membantu
pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.
3. Walaupun demikian, pemahaman pihak
sekolah tentang kepentingan dan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan ibu
bapa di sekolah dengan lebih bermakna didapati masih kurang.
4. Bagi memenuhi hasrat ini, pihak
sekolah perlu melakukan pelbagai usaha bagi mendekati pihak ibu bapa supaya
mereka melibatkan diri secara sepenuhnya dalam pelbagai program yang
dianjurkan.
5. Kerjasama dan penglibatan ibu bapa
di sekolah sebenarnya boleh meliputi pelbagai aspek sama ada dalam bidang
akademik, perkembangan sahsiah pelajar, ko kurikulum, pembangunan fizikal
sekolah dan lain-lain lagi.
6. Dalam hal ini, apabila pihak sekolah, pelajar,
ibu bapa dan masyarakat masing-masing sudah menganggap diri masing-masing
sebagai rakan kongsi bersama dalam pendidikan, maka akan terbentuklah satu
komuniti di sekolah yang akan bergerak bersama-sama dalam usaha untuk
membantu peningkatan dalam pembelajaran pelajar.
7. Komuniti Pembelajaran Sekolah
(School Learning Community) merupakan satu komuniti di sekolah yang terdiri
daripada guru/pihak sekolah, pelajar, keluarga/ibu bapa dan masyarakat
yang bersama-sama terlibat untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala
aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang
pembelajaran pelajar.
8. Kajian mendapati bahawa SLC
banyak mendatangkan kebaikan kepada semua pihak antaranya menambahbaik keadaan
iklim dan prestasi sekolah, menguatkan ikatan persaudaraan, menggalakkan
sokongan masyarakat setempat terhadap sekolah dan meningkatkan prestasi
pencapaian pelajar dalam semua aspek di sekolah.
9. Antara ciri penting yang terkandung
di dalam SLC ialah penglibatan pihak sekolah,pelajar, keluarga dan masyarakat
setempat secara bersama-sama dalam pencapaian visi sekolah.
10. Selain
itu, ciri lain ialah sekolah yang mengamalkan SLC akan sentiasa mengalu-alukan
kedatangan ibu bapa ke sekolah tanpa mengira latarbelakang ibu bapa pelajar.
11. Kajian
mendapati bahawa pelajar akan berusaha lebih bersungguh-sungguh dan bertingkah
laku lebih baik sekiranya mereka mendapati ibu bapa mereka sering dilibatkan
dalam pelbagai aktiviti di sekolah pada sepanjang tahun persekolahan.
12. Seterusnya
SLC didapati lebih berfokuskan pencapaian pelajar. Dalam hal ini didapati
bahawa pihak sekolah akan melibatkan keluarga dan masyarakat setempat dalam
pelbagai aktiviti yang dianjurkan dengan tujuan bagi mendapat sokongan dalam
pelbagai bentuk untuk meningkatkan prestasi pelajar.
13. Ini
secara tidak langsung akan membantu meneguhkan pelbagai aspek pembelajaran
serta kemahiran-kemahiran pelajar di sekolah, misalnya kemahiran membaca,
menulis dan mengira di sekolah rendah.
14. Perkara
lain yang ditekankan di dalam SLC adalah wujudnya kerjasama erat antara pihak
sekolah dengan komuniti setempat. Pihak sekolah akan berkerjasama dengan
masyarakat setempat dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sama ada di dalam
atau di luar sekolah pada masa yang dirasakan sesuai dalam usaha bagi
meningkatkan kemahiran dan bakat pelajar.
15. Joyce
Epstein (2009) dalam bukunya School, Family and Community Partnership : Your
Handbook for Action, telah menggariskan 6 jenis penglibatan ibu bapa yang dapat
dianjurkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk membantu meningkatkan
pembelajaran pelajar.
a. Parenting (Keibubapaan) – Melalui penglibatan jenis ini, pihak
sekolah boleh membantu pihak keluarga dengan menyediakan pelbagai bentuk
bantuan sama ada tentang kemahiran keibubapaan, memberi maklumat tentang
perkembangan psikologi anak-anak, serta membantu menyediakan suasana yang dapat
memudahkan anak-anak belajar dengan lebih baik di rumah. Penglibatan jenis ini
juga secara tidak langsung dapat membantu pihak sekolah memahami latar belakang
keluarga dan budaya pelajar berkenaan.
b. Communicating (Berkomunikasi) – Dalam penglibatan jenis ini, pihak
sekolah akan berusaha berkomunikasi secara berkesan dengan pihak ibu bapa
melalui pelbagai cara dan media dalam usaha untuk membantu pembelajaran pelajar.
Misalnya pihak sekolah menggunakan surat bagi menerangkan program-program yang
dilaksanakan di sekolah ataupun guru menerangkan kepada pihak ibu bapa tentang
perkembangan prestasi semasa anak-anak mereka semasa perjumpaan ibu bapa dengan
guru. Selain itu, melalui saluran tertentu, pihak ibu bapa juga boleh memberi
maklumbalas terhadap perkara-perkara tertentu kepada pihak sekolah.
c. Volunteering (Kesukarelawanan) – Pihak sekolah boleh melakukan
perancangan pelbagai program yang melibatkan ibu bapa di sekolah sama ada
sebagai sukarelawan, peserta ataupun sebagai penonton dalam mana-mana aktiviti
sekolah. Kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa dalam penganjuran dan
pelaksanaan sesuatu aktiviti, secara tidak langsung akan menyumbang kepada kejayaan
pelajar. Misalnya aktiviti gotong-royong mengecat bangunan sekolah, ibu bapa
membantu pelbagai penganjuran aktiviti pelajar di sekolah.
d. Learning at Home (Pembelajaran di Rumah) – Melalui penglibatan jenis
ini, pihak sekolah dapat mendedahkan kepada pihak ibu bapa tentang pelbagai
kaedah yang sesuai bagi membantu anak-anak mereka belajar atau menyelesaikan
kerja sekolah di rumah. Dalam hal ini, pihak ibu bapa juga dapat berkongsi idea
dengan pihak sekolah bagi menyediakan strategi yang sesuai bagi penambahbaikan
kerja rumah anak-anak mereka. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan
maklumat tentang jenis-jenis kemahiran yang diperlukan untuk belajar di rumah.
e. Decision Making (Pembuatan Keputusan) – Pihak sekolah juga melibatkan
ibu bapa sebagai rakan kongsi dalam pembuatan keputusan dalam beberapa aspek di
sekolah. Misalnya di dalam penganjuran beberapa aktiviti, mesyuarat PIBG,
jawatankuasa bersama dalam program sekolah dan lain-lain.
f. Collaborating with the Community (Bekerjasama dengan Masyarakat Setempat) –
Hubungan baik sekolah dengan masyarakat setempat dapat diwujudkan dengan
melibatkan pihak jabatan kerajaan, swasta atau badan-badan lain dalam pelbagai
program di sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mendidik pelajar dan keluarga
mereka tentang cara-cara menjadi warganegara yang baik.
6.0 Kesimpulann
Setiap jenis penglibatan di atas memerlukan pendekatan yang
berbeza. Setiap satunya mempunyai cabaran tersendiri yang perlu ditangani
supaya penglibatan sepenuhnya dapat diwujudkan. Selain itu, pengubahsuaian
aspek-aspek tertentu amat perlukan supaya penglibatkan
yang dilakukan bersesuaian dengan latar belakang keluarga dan masyarakat
setempat. Setiap jenis penglibatan akan membawa kesan yang berbeza sama ada
terhadap pelajar, ibu bapa, amalan pengajaran guru dan iklim sekolah.
Sehubungan itu, pihak sekolah perlulah membuat pilihan yang tepat supaya
penglibatan ibu bapa dan masyarakat dapat membantu pencapaian matlamat utama
sekolah dengan lebih bermakna.
Dengan menjadi menjadi rakan kongsi yang baik, diharapkan penglibatan pihak ibu
bapa dan komuniti setempat akan dapat membantu pihak sekolah meningkatkan
pembelajaran anak-anak mereka di sekolah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan
masalah di siplin di sekolah. Ini kerana tugas bagi penambahbaikan pendidikan
anak-anak bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah tetapi juga
melibatkan pihak keluarga dan komuniti setempat.