Guru
 adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja 
perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti 
akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan 
kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek
 kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang 
membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru 
siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera
 dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita 
sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita
 menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya.
 Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru 
meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti 
mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu 
mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah 
dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai
 orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu 
kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) 
dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)
Pernah
 diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, 
sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah 
seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat
 sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi 
kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam 
anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi 
kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau
 memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie "
 Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu 
masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing
 yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir 
tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal 
kambing-kambing mereka.
Aku
 pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu 
menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki 
belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak 
mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku 
dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu
 sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan 
menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan
 ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan 
guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru 
malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini 
amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah
 berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat
 banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal 
dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang
 tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diriterhadap
 ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan 
sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan 
mereka.
Mereka
 mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang
 tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang
 mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan 
mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah 
s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan
 kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali
 disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta 
takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru.
 Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu 
perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah 
dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan 
menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan 
penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas
 mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika
 mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan 
guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu
 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah 
s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan 
kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. 
Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 
'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah
 hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka 
menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka 
begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.
Kredit : Khaulah Azwar 

1 ulasan:
Catat Ulasan