Doa malam lailatul-qadr
Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah
 meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 
yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu
 selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam
 hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir 
Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan 
Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik 
daripada 1,000 bulan.”
Demikian
 pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: 
“Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada 
Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.
Diriwayatkan
 al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 
10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang 
mampu melakukan solat.
Dalam
 sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah 
menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 
kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi 
SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri 
untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan 
solat sunat, beristighfar dan sebagainya.
Persiapan
 Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi 
Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum 
beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi 
dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi 
setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.
Ulama
 Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara 
menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar 
Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada 
malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal 
ahli Madinah menyokong pendapat itu.
Ini
 berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga 
ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam 
sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan 
kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat 
dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: 
“Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia 
memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”
Dalam
 riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak
 dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn
 Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW 
bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa 
siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat 
perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa 
berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh 
lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya
 sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk 
mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh 
berjemaah bagi lelaki.
Bagi
 wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh 
lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, 
berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan
 Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan 
yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan 
aku.”
Dalam
 tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling 
penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon 
keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.
Dalam
 zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar
 kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki 
tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga 
kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain
 itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan 
lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat 
Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman
 daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan 
dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu 
bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”
Bagaimana dengan para muslimah yang didatangi haid, bagaimana caranya mereka hendak memenafaatkan 10 malam yg akhir ramadhan?
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan