KOKURIKULUM dalam pendidikan adalah sambungan kurikulum yang diajar di
bilik darjah. Kokurikulum yang difahamkan selama ini tidak lebih sebagai
kegiatan organisasi yang dikaitkan dengan subjek seperti Persatuan
Bahasa Melayu, Persatuan Sejarah, Persatuan Sains, Persatuan Agama Islam
dan sebagainya. Kegiatannya agak terhad dan proses pembentukan bakat
dan kefahaman terhadap ilmu dan kesukarelaan menjadi kurang berkembang.
Di samping penyuburan kognitif dalam bilik darjah para pelajar harus
dipupuk dan disuburkan dengan maksud afektif di luar bilik darjah.
Kokurikular harus mempunyai kurikulum yang baik. Ia terkandung aktiviti
yang bermanfaat supaya gerak kerja kokurikular dapat diukur dan
dinilai. Ia menyumbang ke arah melahirkan peribadi holistik seseorang
pelajar. Peribadi holistik penting dalam transformasi pendidikan supaya
produk akliah (kognitif) tidak dijadikan ukuran tunggal mengenai
kemajuan diri seseorang pelajar tetapi kegiatan kokurikular memberikan
cerminan potensi insan diraikan.
Persatuan Bahasa Melayu umpamanya memberi ruang kepada pelajar mengkaji
tentang pola perbahasaan, dialek masyarakat setempat dan bandingkan
dengan keperluan bahasa baku yang diajar di sekolah. Penelitian mengenai
bahasa juga terhubung dengan pengaruh Islam di dalam Bahasa Melayu dan
pengaruh aliran lain yang terdapat dalam bahasa itu.
Dalam Bahasa Melayu terdapat ribuan istilah al-Quran dan ia tidak saja
memberi asas makna tetapi juga nilai pada istilah dan bahasa yang
berkaitan. Perkataan amanah, adil, ikhlas, rahmah, nikmah, mesyuarah,
hikmah, zalim, syukur, manfaat dan banyak lagi mempunyai kaitan langsung
dengan nilai Islam dan nilai sejagat.
Ia memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam melakukan kajian supaya
belajar bahasa bukan untuk lulus periksa tetapi menerima makna bahawa
pada bahasa itu terdapat nilai, kefahaman, konsep dan falsafah.
Pendekatan ini amat sesuai untuk dikembangkan di tahap sekolah menengah
rendah dan juga atas supaya asas kajian lapangan diberi, penelitian di
buat, laporan terhadap kajian dilakukan dan latihan pembentangan kajian
dan dapatan berlaku. Tajuk-tajuk dan kerja lapangan yang diberi haruslah
sesuai dengan tahap umur, kemampuan berfikir dan menyerap kefahaman
supaya pembelajaran berlaku.
Masalah yang dihadapi dalam sistem kita kini ialah fokus pengajaran dan
pembelajaran tertumpu kepada orientasi hafazan dan pengingatan. Lalu
pengajaran lebih banyak terarah kepada upaya mengingat menerusi
latih-tubi dan akhirnya diukur dengan peperiksaan. Peperiksaan menjadi
fokus utama menentukan pencapaian dan kecemerlangan para pelajar dalam
subjek yang dipelajarinya. Ia memberi kesan sepihak terhadap pembangunan
diri pelajar.
Kokurikular Sejarah atau Kajian Tempatan umpamanya amat menarik
dikembangkan menerusi gerak kerja lapangan, kajian dan telitian, dengan
mengumpul maklumat dan data. Sejarah lazimnya mengaitkan apa yang
berlaku pada masa lalu. Masa lalu dilalui meninggalkan kesan sejarah.
Hari ini yang sedang dilalui bakal meninggalkan jejak-jejak sejarah.
Hari depan yang bakal diteroka juga bakal mengubah sejarah. Sifat
sejarah adalah sinambung dan coraknya mengulangi walaupun dalam bentuk
yang mungkin berbeza.
Dalam tradisi Islam, sejarah itu dilihat sebagai kisah yang membawa
kesan kepada ibrah. Ibrah atau sumber teladan ini amat penting bagi
memberi pengetahuan dan maklumat mengenai peristiwa dan tokoh supaya
yang baik itu dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan.
Kisah Nabi Lut as dalam al-Quran umpamanya boleh dihubungkan dengan isu
seks bebas yang terjadi pada hari ini. Pola perlakuan hidup manusia
mengulangi jejaknya meninggalkan gaya hidup yang fitrah sebaliknya
memilih jalan hidup yang songsang.
Ini boleh mencetuskan kesedaran pelajar tentang betapa penting hidup
dalam keadaan fitrah berpedomankan nilai dan agama supaya hal-hal yang
makruf subur dalam kehidupan, dan hal-hal mungkar dapat dihindari.
Sejarah Melaka umpamanya menyatakan tentang zaman turun-naik yang
menyebabkan Melaka dan Malaya akhirnya terjebak dalam kekuasaan
penjajah. Zaman naiknya Melaka ialah kerana kekuatan Islam dijadikan
sandaran. Sultan Alauddin Riayat Shah amat menarik untuk dikaji. Kisah
Sultan Mahmud dan peminangan Puteri Gunung Ledang adalah metafor yang
memberikan makna besar terhadap kejatuhan Melaka. Peranan penasihat Raja
seperti Si Kitol dan Raja Mendaliar amat mustahak untuk dikaji kerana
watak itu wujud pada setiap zaman yang akhirnya membawa kejatuhan
terhadap sesuatu bangsa atau tamadun kerana sifat sejarah itu mengulangi
jejak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan