Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Si jaguh datang 
dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. (Pihak) yang batil 
dengan perancangan dapat mengalahkan (pihak) yang benar tanpa 
perancangan.
Demikian antara maksim tentang kepentingan proses merancang dalam 
kehidupan insan sama ada sebagai individu, masyarakat, organisasi, 
pemimpin dan negara. Falsafah tukang kayu mengatakan bahawa ukur dua 
kali, potong sekali sahaja. Peribahasa Melayu juga mengungkapkan 
kebijaksanaan perancangan, iaitu ukur baju di badan sendiri; jika kail 
panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga; jika memandang bintang di
 langit, jangan lupa rumput di bumi, dan banyak lagi.
Sekolah sebagai organisasi yang mempupuk pembelajaran sudah pasti 
meletakkan proses perancangan sebagai keutamaan kritikal dan teratas. 
Sering disebut bahawa perancangan mewakili 80 peratus komponen kejayaan.
 Teori pengurusan klasik yang begitu dikenali dengan singkatan POSdCorb 
telah dipopularkan oleh Luther Gulick dan Lyndall Urwick, 1937 (klik di sini) meletakkan perancangan sebagai komponen pertama.
Jumlah minimum hari persekolahan di Malaysia ialah 190 hari, termasuk 
kelayakan cuti peristiwa sebanyak empat hari yang tidak perlu diganti. 
Jumlah minggu persekolahan pula ialah 42 minggu, termasuk peperiksaan 
awam yang dijalankan dalam musim persekolahan. Pihak sekolah juga perlu 
mengambil kira peristiwa luar jangka (ad-hoc) yang mungkin 
menjejaskan pelaksanaan dasar melindungi masa instruksional murid 
(MMIM), iaitu mengoptimumkan keberadaan guru di sekolah.
Salah satu dokumen tatacara rasmi operasi sekolah (SOP) ialah 
manual takwim persekolahan dan direktori pengurusan yang memperinci 
agihan tugas guru dan tarikh yang perlu dipatuhi. Antara dokumen rujukan
 penting dalam merancang tugas persekolahan sesuatu tahun ialah kalendar
 lengkap, senarai cuti kelepasan am persekutuan, cuti negeri dan cuti 
peristiwa sekolah (klik di sini dan di sini).
 Pelaksanaan aktiviti kurikulum di bilik darjah juga mesti akur dengan 
keputusan mesyuarat jawatankuasa kurikulum yang dianggotai oleh 
pentadbiran sekolah dan semua ketua panitia yang mengambil kira 
peruntukan hari ujian dan peperiksaan dalaman. 
Mesyuarat guru dan mesyuarat teragih (dalam kumpulan yang lebih kecil) 
perlu diatur dengan cekap supaya sentiasa bersifat adil dan produktif. 
Maksudnya, pelaksanaan mesyuarat dibuat secara profesional dan terancang
 sehingga tidak berlaku pembaziran masa dan tenaga yang meningkatkan 
bacaan meter tekanan dalam kalangan ahli mesyuarat. Tujuan mesyuarat 
ialah untuk memenangi kerjasama dan sokongan demi menjayakan sesuatu 
projek, program dan sistem yang dikehendaki.
Oleh:CikguAzhar 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan