Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Begitulah tadi bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk usman Awang bekas Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru.
Ternyata puisi tersebut mengiktiraf guru sebagai insan murni yang
bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa menjadi
insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial
(JERIS). Dalam proses manuntut ilmu pengetahuan, guru dikatakan
pelengkap untuk memacu pembangunan minda dan intelektual seseorang.
Dalam konteks negara pula, guru dapat diinterpretasikan sebagai permata
yang amat berharga bagi memastikan negara berada pada landasan yang
tepat agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain yang maju. Justeru, sememangnya jasa dan pengorbanan
yang dicurahkan oleh guru perlu dihargai, hatta dengan lemparan
senyuman kejujuran tanda terima kasih daripada pelajarnya.
Pelajar ialah individu yang sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan guru. Hal ini
kerana pelajar merupakan individu yang paling hampir dan amat
mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi pelbagai ranjau
dan liku kehidupan masa hadapan. Sebagai pelajar, mereka perlu berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar
harus senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti
mulia apabila berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan
memberi salam dan mengucapkan salam sejahtera serta menggunakan nada
yang lembut semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar.
Uslub ini bukan sahaja dapat menghargai jasa dan epngorbanan guru,
bahkan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara guru dengan pelajar, bak
kata pepatah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali
membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Tegasnya,
berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi
menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Selain itu, pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru.
Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja penting untuk kecemerlangan
diri tetapi dalam masa yang sama mampu mengharumkan nama sekolah.
Kecemerlangan yang diperolelh secara langsung dapat menyejukkan hati
guru yang mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu
bertungkus-lumus dan berhati waja untuk mencapai keputusan yang
cemerlang dalam semua peperiksaan yang diduduki seperti Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM).Kejayaan yang tercipta
diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih payah guru
tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun keladi ataupun mencurahkan garam ke laut.
Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar bahawa guru tidak pernah
meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta tetapi cukup
sekadar ucapan terima kasih yang kadang kala amat sukar dilafazkan.
Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para
pelajar seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri
dengan kegiatan negatif yang boleh merosakkan nama baik guru dan
sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan perhatian oleh para
pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar sama
ada di sekolah atau di luar
kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan kegagalan guru mendidik para
pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang
awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam
gangsterisme, vandalisme
mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes dianggap terpencil,
tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh negara
seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Oleh itu, untuk mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas
dan peranan yang dimainkan guru, para pelajar perlulah sentiasa
mengamalkan perbuatan yang positif serta menjauhkan diri daripad
terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa persekolahan.
jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan penghormatan
kepada guru yang telah banyak berjasa.
Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru.
Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para
guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak
lagi berkhidmat sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan
meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal
ini sambutan Hari Guru perlulah diraikan sebaik mungkin dan tidak
sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semas sambutan
Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan
sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka
sebagai menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan madu
kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada
wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang
tulus lagi ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari
guru sudah cukup bermakna buat para guru. Sesungguhnya guru tidak
pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak didiknya walaupun telah
banyak ilmu ditumpahkan kepada mereka.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan atau sakit juga cara kita menghargai jasa dan pengorbanan para guru.
Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam
kehidupan. Tamsilnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana,
menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi
mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan
rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kira terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan
sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami
kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan
beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa 'guru, jasamu dikenang, budimu disanjung'
bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa
dikenang oleh para pelajar. Dengan berbuat demikian kita dapat
mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi guru. Mudah-mudahan Tuhan
akan memberikan ganjaran atas kebaikan yang kita berikan.
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita.
Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah
mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa
mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera
dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat
sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dan
generasi seterusnya dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal
dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar
mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang
sepanjang masa. Dalam hal ini, tidak rugi sekiranya kita berdoa untuk
kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain apatah lagi guru yang telah
banyak berjasa kepada kita. Sesungguhnya guru, 'jasamu seharum limau kasturi yang terus mewangi mengiringi kejayaan seseorang anak didikmu'.
Konklusinya, guru merupakan insan mulia yang sepatutnya dihargai oleh setiap insan. Sudah terang lagi bersuluh,
jasa dan pengorbanan seseorang guru sukar untuk dibalas walau dengan
menghadiahkan mereka segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana
gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Tanpa jasa dan
pengorbanan guru yang berkaliber dan tidak eprnah mengaku kalah dalam
perjuangan mereka, nescaya sukar untuk pemimpin atasan melaksanakan visi
dan misinya mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020. Justeru,
marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita
peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Untuk itu
marilah kita renung bait-bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan