1. PENDAHULUAN:
PIBG yang ditubuhkan di sekolah
seharusnya berfungsi sebagai satu 'Majlis' bukan satu 'Pertubuhan' yang
terasing di sekolah. Kalaupun disebut sebagai 'Persatuan' hanyalah
sebagai satu 'Kumpulan Seminat' sahaja. Maksudnya kumpulan orang yang
prihatin kepada masalah pendidikan. Mereka terdiri daripada ibu bapa dan
guru.
PIBG sepatutnya dijadikan sebagai
satu 'Medan' mengadakan 'Forum' untuk berbincang dan bertukar-tukar
fikiran serta berunding (musyawarah) dalam suasana muhibbah bagi
menyelesaikan masalah sekolah supaya dapat meningkatkan kecemerlangan
pendidikan sekolah.
Konsep PIBG membantu sekolah ini
bermatlamat meringankan dan melicinkan perlaksanaan Program Pendidikan
Sekolah dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan budaya sekolah
termasuk pembangunan infrastruktur (Prasarana fizikal).
PIBG tidak boleh campurtangan dalam
urusan pengelolaan dan pentadbiran sekolah. Ini kerana seseorang
Pengetua atau Guru Besar sebagai Pengurus Sekolah telah
dipertanggongjawabkan dengan Perintah-Perintah Am (General Order)
mengenai arahan pentadbiran oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan
Jabatan Pelajaran Negeri untuk dilaksanakan.
Justeru kerana itu PIBG mesti
mengetahui dan memainkan peranan mengikut bidang tugas yang sewajarnya
agar tidak menyeleweng dari fungsi sebenar penubuhan PIBG.
2. PROSES PENDIDIKAN DI SEKOLAH:
Pendidikan ia lah proses
pemerolehan dan pemindahan ilmu, nilai murni dan kemahiran-kemahiran.
Proses pemerolehan dan pemindahan ilmu ini berlangsung secara berterusan
dalam diri seseorang sejak dari 'janin' hingga ke akhir hayat.
Proses pendidikan secara berterusan ini terkandung dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Proses
pendidikan yang berteraskan Tauhid bagi membina Insan Rabbani yang
berilmu, beriman dan berakhlak mulia, serta berkemampuan membentuk diri,
masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-quran
dan As-Sunnah melalui sistem yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan
berterusan".
Matlamat pendidikan seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk melahirkan rakyat dan warganegara yang baik. Pada
amnya insan yang baik ia lah insan yang memiliki sahsiah yang seimbang
dan bersepadu. Ia memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:-
a. Percaya dan patuh kepada Tuhan.
b. Berilmu pengetahuan dan berfikiran kreatif dan rasional.
c. Berakhlak mulia.
d. Berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan
negara.
e. Setia kepada negara dan bertanggongjawab untuk menjaga hubungan yang baik dan
mesra antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia.
Bagi mencapai hasrat yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut maka perlu ada
penglibatan semua pihak dalam proses pendidikan. Sehubungan dengan itu
PIBG mempunyai ruang dan tanggongjawab yang boleh dimainkan peranan ke
arah melahirkan insan yang baik dengan kerjasama pihak Pengurusan
Sekolah.
3. BIDANG TUGAS PIBG:
Bidang tugas PIBG sepatutnya merangkumi perkara-perkara berikut:-
a. Memberi perkhidmatan untuk kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah.
b. Membantu menambah usaha sekolah memenuhi keperluan dan kehendak kebendaan
murid-murid dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, budaya sekolah dan bidang yang difikir perlu.
c. Ibu bapa dan guru di sekolah boleh bertukar-tukar fikiran dan maklumat serta
berunding dalam suasana muhibbah mengenai usaha meningkatkan taraf pelajaran murid-murid sama ada di rumah atau di sekolah.
d. Bergotong-royong menyediakan kemudahan untuk faedah murid-murid.
e. Menentukan murid-murid mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk belajar dan
membuat kerja-kerja sekolah mereka dengan baik sama ada di sekolah atau di rumah.
f. Membantu mewujudkan persekitaran sekolah (budaya sekolah) yang boleh mendorong
ke arah perkembangan pengajaran dan pembelajaran untuk perkembangan jasmani rohani, emosi dan intelek murid secara menyeluruh dan bersepadu.
g. Membantu pembangunan fizikal (infrstruktur) sekolah yang diperlukan dengan
serta-merta.
4. KEKANGAN DAN HALANGAN:
a. Ibu bapa:
i. Kebanyakan ibu bapa mempunyai tahap pelajaran yang rendah dan terlalu sibuk dengan tugas mencari nafkah.
ii. Ibu bapa meletak tanggongjawab mendidik anak-anak mereka 100% kepada guru.
iii. Ibu bapa kurang memberi keutamaan kepada masalah persekolahan dan pendidikan
anak-anak mereka.
iv. Ibu bapa tidak mahu hadir ke sekolah berjumpa dan berbincang dengan guru atau
berunding dengan guru berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka.
v. Ibu bapa beranggapan menghadiri upacara rasmi sekolah sebagai perkara membuang
masa.
vi. Kebanyakan ibu bapa berasa rendah diri dan beranggapan mereka tidak setaraf
dengan guru.
vii. Kebanyakan ibu bapa bekerja sendiri dan pendapatan di bawah paras kemiskinan
serta pendapatan tidak tetap.
b. GURU:
i. Guru tidak berusaha menjalin hubungan dan pergaulan dengan ibu bapa.
ii. Kerapkali salahlaku murid tidak dimaklum kepada ibu bapa terlebih dahulu.
iii. Guru kurang mengadakan kelas bimbingan, kelas pemulihan dan kelas tambahan.
iv. Guru kurang menggunakan ABM dan ABB semasa mengajar.
v. Kurang latihan pengukuhan diberi kepada murid.
vi. ABM dan BBM tidak mencukupi dan tidak releven.
vii. Pengajaran guru kurang terancang.
viii. Guru terpaksa mengajar bilangan murid yang ramai di kelas.
ix. Guru kurang membuat ujian dan penilaian.
x. Perhubungan guru dengan murid kurang mesra.
c. MURID-MURID:
i. Murid-Murid tinggal jauh dari sekolah.
ii. Murid-murid terpaksa berjalan ke sekolah.
iii. Murid-murid tidak ada kemudahan belajar di rumah.
iv. Murid-murid tidak mempunyai perbelanjaan wang saku yang mencukupi ke sekolah.
v. Murid mempunyai masa belajar yang kurang di rumah.
vi. Murid-murid tidak belajar di rumah.
vii. Murid-murid tidak peduli dengan kerja rumah yang diberi oleh guru dan tidak
buat kerja rumah.
viii. Murid-murid tidak mempunyai bahan bacaan di rumah.
ix. Murid-murid kurang menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
x. Murid-murid kurang menggunakan kemudahan perpustakaan.
5. PENYELESAIAN MASALAH:
a. IBU BAPA:
i. Pihak pengurusan Sekolah dengan kerjasama PIBG perlu mengatur rancangan dan
aktiviti untuk menyedarkan ibu bapa dan masyarakat bahawa tanggongjawab
mendidik anak-anak mereka bukan seharusnya diletakkan 100% kepada guru-guru di sekolah.
ii. PIBG perlu mengadakan aktiviti ke arah membantu ibu bapa dan masyarakat
memperolehi ilmu dan kemahiran serta membina sikap yang positif dan sesuai. Aktiviti itu hendaklah berkaitan dengan perkembangan menyeluruh dan bersepadu anak-anak mereka dari segi jasmani, emosi rohani dan intelek.
iii. Di samping itu kesedaran haruslah dipupuk di kalangan ibu bapa bahawa
tanggongjawab memberi pendidikan yang sebenarnya (hakiki) bermula di rumah dan dikembangkan di sekolah oleh guru-guru sama ada di bilik darjah atau di luar bilik darjah melalui aktiviti ko-kurikulum sekolah. Kemudian murid itu sendiri mengamalkan dan menghayati segala ilmu yang diperolehi itu dalam kehidupan sehari-harian.
b. GURU:
Guru -guru hendaklah sedar bahawa
tugas utama mereka bukan hanya semata-mata menyampai ilmu kepada
murid-murid dibilik darjah sahaja tetapi guru mesti memainkan peranan
seperti berikut:-
i. Guru sebagai perancang, fasilitator dan pengurus pengajaran dan pembelajaran.
ii. Guru sebagai pengembang dan pengukuh penguasaan kemahiran.
iii. Guru sebagai pembentuk akhlak.
vi. Guru sebagai contoh teladan (Rule Model).
v. Guru sebagai agen perubahan Masyarakat.
6. KESIMPULAN:
Dalam melaksanakan tanggongjawab
dan amanah memajukan pendidikan adalah diharapkan pihak guru dan AJK
PIBG dapat menghayati konsep etika kerja yang selaras dengan nilai-nilai
murni Islam.
Di antara etika kerja mengikut nilai-nilai Islam ia lah:-
i. Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah.
ii. Bekerja denga ikhlas dan amanah.
iii. Bekerja dengan tekun dan cekap.
vi. Bekerja dengan semangat gotong-royong dan musyawarah serta berpandukan fikiran
yang bersih.
v. Bekerja dengan matlamat untuk kebahgiaan manusia sejagat di dunia dan
di akhirat.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Zariat: 56.
Maksudnya "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku".